RG SDG-ESG THINKERS PERKUKUH KOMPETENSI PELAPORAN KELESTARIAN, PERSIAP PASUKAN UNTUK MISI LEBIH BESAR
berita dan gambar oleh: Prof. Madya Dr. Wan Norhayati Binti Wan Ahmad
SINTOK, 12 Oktober 2026 – Kumpulan Penyelidikan (RG) SDG-ESG Thinkers, TISSA, Universiti Utara Malaysia (UUM), terus memperkukuh kepakaran dan kompetensi ahlinya dalam bidang kelestarian menerusi penganjuran bengkel Fundamental of Sustainability Reporting yang berlangsung pada 11 hingga 12 Oktober 2026 di UUM.
Bengkel selama dua hari ini melibatkan tujuh orang ahli ESG-Thinkers dengan menampilkan Dr. Nurmazilah Dato’ Mahzan, mantan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akauntan Malaysia (MIA) sebagai penceramah yang berkongsi pengetahuan, kepakaran dan pengalaman dalam bidang pelaporan kelestarian.

Penganjuran bengkel ini merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik Learning and Growth, yang memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti (capacity building) dan peningkatan kompetensi ahli secara berterusan sebagai persediaan untuk melaksanakan misi yang lebih besar dalam bidang penyelidikan, latihan dan perundingan kelestarian. Ketua RG SDG-ESG Thinkers, Profesor Madya Dr. Wan Norhayati Wan Ahmad, menekankan bahawa pembangunan kepakaran dalaman merupakan asas penting dalam membina sebuah pasukan penyelidikan yang berwibawa, berdaya saing dan mampu memberikan impak kepada pihak berkepentingan.
“Sebelum kita mampu membawa perubahan dan membantu organisasi lain melaksanakan agenda kelestarian, kita perlu terlebih dahulu memperkukuh pengetahuan, kemahiran dan keupayaan pasukan sendiri. Inisiatif Learning and Growth ini merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan bagi mempersiapkan SDG-ESG Thinkers untuk menggalas tanggungjawab dan misi yang lebih besar,” katanya. Beliau turut menekankan bahawa kekuatan sesebuah kumpulan penyelidikan bukan sahaja terletak pada pencapaian akademik, tetapi juga pada keupayaan ahlinya untuk menterjemahkan ilmu dan kepakaran kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada organisasi, industri dan masyarakat.

Melalui bengkel ini, peserta berpeluang memperkukuh pemahaman mengenai asas pelaporan kelestarian serta kepentingannya dalam meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan prestasi kelestarian organisasi. Penganjuran bengkel ini juga mencerminkan komitmen SDG-ESG Thinkers untuk membudayakan pembelajaran berterusan, perkongsian ilmu dan pembangunan profesional sebagai landasan kepada kecemerlangan penyelidikan serta pengembangan aktiviti perundingan dan latihan.
Berteraskan aspirasi “Building Internal Capacity for Greater External Impact”, kumpulan penyelidik (RG) ini berhasrat membangunkan sebuah pasukan pemikir yang kompeten, progresif, dan bersedia menyumbang kepada agenda kelestarian negara. Inisiatif ini turut menyokong aspirasi UUM untuk memperkukuh peranan universiti sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang bukan sahaja menghasilkan penyelidikan berkualiti, malah mampu menyumbang kepada pembangunan kapasiti organisasi dan masyarakat secara berimpak dan berterusan.



