Pensyarah SOL tampil sebagai panel Forum PDRM Peringkat Nasional
Berita dan gambar Dr. Mukhriz Mat Rus
KUANTAN: Pensyarah Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mukhriz Mat Rus yang juga merupakan Ketua Unit Integriti UUM telah diundang sebagai ahli panel jemputan dalam forum peringkat kebangsaan bersempena Program Pemantapan Sinergi Penguatkuasaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Jenayah Terancang Tahun 2026.
Program yang berlangsung di Swiss Ballroom, Swiss-Belhotel, Kuantan itu dianjurkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO).

Program ini menghimpunkan hampir 200 pegawai kanan keselamatan termasuklah Pengarah JSJ Bukit Aman, Komisioner Polis (CP) Datuk M. Kumar S. Muthuvelu dan kepimpinan tertinggi JSJ, barisan Timbalan Pendakwa Raya daripada Unit Jenayah Berat, AGC, dan Sekretariat MAPO.
Forum bertajuk “Daripada Rangkaian Tempatan Kepada Ancaman Global: Peranan SOSMA Dalam Menangani Evolusi Jenayah Terancang” itu memfokuskan peranan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta ATIPSOM 2007 dalam menghadapi cabaran jenayah sindiket rentas sempadan yang semakin kompleks.
Selain Dr. Mukhriz, barisan panel forum turut menampilkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Yang Arif Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor dan Ketua Unit Jenayah Berat, AGC, Norinna Bahadun, manakala Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman, SAC Junainah M. Kasbolah bertindak sebagai moderator.

Dr. Mukhriz berkata, inisiatif seumpama ini bukan sahaja memperkukuhkan jalinan strategik antara akademia, khususnya UUM dengan agensi keselamatan negara, malah menjadi pemangkin kepada ahli akademik untuk terus menyumbang kepakaran di luar dewan kuliah dan pusat penyelidikan.
“Pelbagai bidang kepakaran dan disiplin ilmu di UUM amat relevan serta berkeupayaan tinggi dalam menyokong usaha membanteras jenayah terancang, di samping menyumbang kepada penggubalan dasar serta perundangan berkaitan pencegahan pemerdagangan orang,” katanya.



