Campus

SQS kreatifkan pembelajaran statistik, sembilan kumpulan pelajar UUM hasilkan permainan interaktif

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Nazrina Aziz

SINTOK: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus meneroka pendekatan pengajaran dan pembelajaran kreatif menerusi program Stat Innovate yang berlangsung di Bukit Kachi, UUM pada 23 Oktober lalu yang menyaksikan sembilan kumpulan pelajar UUM menghasilkan permainan pendidikan berasaskan statistik dengan mengetengahkan kreativiti, inovasi dan pembelajaran interaktif.

Program di bawah bimbingan pensyarah kursus, Prof. Madya Dr. Nazrina Aziz ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan tugasan berkumpulan bagi kursus SQQSK1013 Elementary Statistics, Semester Pertama Sesi 2026/2027 (A261) yang merupakan kursus teras wajib universiti yang ditawarkan dan dikendalikan oleh SQS kepada pelajar daripada pelbagai pusat pengajian di UUM.

Menerusi tugasan bertemakan “Building Game-Based Approaches to Data Presentation”, pelajar dicabar untuk membangunkan permainan pendidikan yang menggabungkan konsep statistik dengan mekanisme permainan yang menarik, interaktif dan menggalakkan penglibatan pemain.

Menariknya, kesemua sembilan kumpulan mengetengahkan idea, reka bentuk dan mekanisme permainan yang berbeza. Permainan yang dihasilkan ialah Supermarket Manager, STATESCAPE, Spin & Solve: The Statistics Quest, Rolling Dash, The Missing USB, Stat Shock! Save the City Mission, Stat Checkmate!, Mission Galaxy dan Sweet Statistics Game.

Setiap permainan mempunyai pendekatan tersendiri dalam mengintegrasikan konsep statistik ke dalam aktiviti permainan. Antaranya, STATESCAPE mengetengahkan konsep pengembaraan dan cabaran melalui empat checkpoint unik, iaitu Traffic Light, WUNO, PinGraph dan Tally Dice. Setiap check point menguji pengetahuan statistik pemain melalui aktiviti yang menggalakkan pemikiran kritis, kerjasama dan penyelesaian masalah.

Sementara itu, Stat Checkmate! mengadaptasi permainan dam dengan menggabungkan kad soalan statistik, kad bonus dan kad penalti. Pemain perlu menjawab soalan dengan betul untuk menggerakkan buah permainan dan menewaskan pihak lawan. Pendekatan ini memperlihatkan bagaimana permainan konvensional boleh diubah suai menjadi medium pembelajaran yang menggabungkan strategi dan pengetahuan statistik.

Dari aspek kandungan akademik, permainan yang dibangunkan perlu merangkumi tujuh topik utama kursus, iaitu istilah asas statistik dan skala pengukuran, kaedah pengumpulan data, persembahan data kualitatif dan kuantitatif, ukuran kecenderungan memusat dan serakan, data berkelompok serta kepencongan (skewness). Konsep-konsep tersebut diterapkan melalui aktiviti, soalan dan cabaran yang direka mengikut mekanisme serta kreativiti setiap kumpulan.

Melalui tugasan ini, pelajar bukan sahaja perlu memahami dan mengaplikasikan konsep statistik, malah bertanggungjawab membangunkan bahan permainan, menyediakan buku panduan, menghasilkan fail jawapan berserta pengiraan dan penerangan, serta menyediakan video demonstrasi produk untuk dikongsikan melalui media sosial. Setiap permainan juga perlu mempunyai objektif, peraturan, sistem pemarkahan dan kaedah kemenangan yang jelas. Elemen penerangan jawapan turut diterapkan supaya pemain dapat memahami sebab sesuatu jawapan itu betul atau salah, sekali gus menjadikan permainan sebagai medium pembelajaran dan bukan sekadar aktiviti hiburan.

Pendekatan pembelajaran berasaskan permainan ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan statistik secara praktikal, di samping mengembangkan kemahiran menyelesaikan masalah, kreativiti, komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan. Pelajar turut berpeluang menguji kefahaman rakan-rakan melalui permainan yang dibangunkan sendiri.

Dr. Nazrina Aziz merakamkan penghargaan kepada semua pelajar atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan program tersebut.

Penghargaan khusus turut diberikan kepada pelajar yang memainkan peranan dalam kepimpinan kumpulan, penyelarasan susun atur serta persediaan lokasi. Sumbangan setiap individu, sama ada secara langsung mahupun di sebalik tabir, memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran program ini.

Secara keseluruhannya, program Stat Innovate mencerminkan komitmen SQS dalam memperkayakan pengalaman pembelajaran statistik melalui pendekatan yang menggabungkan pengetahuan, kreativiti dan kolaborasi.

Inisiatif ini turut membuktikan bahawa statistik bukan sekadar pengiraan dan formula, sebaliknya boleh diterjemahkan kepada pengalaman pembelajaran yang menarik, interaktif dan bermakna kepada pelajar daripada pelbagai bidang pengajian di UUM.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button