General

UUM PERKUKUH TADBIR URUS KESELAMATAN MAKLUMAT MELALUI LATIHAN ISMS MS ISO/IEC 27001:2022

Gambar oleh: Mohd Shazwan Nabil bin Shukor

Pulau Pinang – Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan komitmen dalam memastikan keselamatan maklumat universiti diurus secara sistematik dan berkesan menerusi penganjuran Latihan Pemahaman dan Pengurusan Sistem Keselamatan Maklumat (Information Security Management System – ISMS) MS ISO/IEC 27001:2022 yang berlangsung selama dua hari di Hompton by the Beach, Pulau Pinang.

Program anjuran bersama Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA) dan UUM Information Technology (UUMIT) ini melibatkan seramai 17 peserta yang terdiri daripada pegawai PPQA, UUMIT serta wakil Pusat Pengajian dan Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang berkaitan. Latihan ini dikendalikan oleh tenaga pengajar daripada SIRIM Academy Sdn. Bhd. yang bertanggungjawab menyampaikan latihan dan perkongsian ilmu sepanjang program berlangsung.

Latihan ini bertujuan memberikan pemahaman menyeluruh kepada peserta mengenai prinsip, keperluan dan pelaksanaan ISMS berasaskan standard MS ISO/IEC 27001:2022, khususnya dalam aspek pengurusan risiko keselamatan maklumat, dokumentasi, kawalan keselamatan serta persediaan menghadapi proses audit dan pensijilan.

Penganjuran latihan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik UUM melalui UUMIT dalam membuat persediaan ke arah mendapatkan semula pensijilan ISMS yang pernah diperoleh oleh universiti pada 5 Oktober 2012 dan berjaya dikekalkan sehingga tahun 2018.

Seiring dengan perkembangan standard daripada ISO/IEC 27001:2013 kepada versi terkini MS ISO/IEC 27001:2022, usaha ini memerlukan penelitian semula terhadap skop pensijilan, proses kerja, dokumentasi serta kawalan keselamatan maklumat bagi memastikan pelaksanaannya memenuhi keperluan standard semasa.

Penceramah daripada SIRIM Academy Sdn. Bhd., Raja Muhazam Farid Raja Mukhtar berkata, pelaksanaan ISMS bukan sekadar bertujuan memenuhi keperluan standard atau memperoleh pensijilan, sebaliknya merupakan pendekatan pengurusan yang sistematik bagi melindungi maklumat organisasi daripada pelbagai ancaman dan risiko keselamatan, termasuk kehilangan, kebocoran serta akses tanpa kebenaran.

Menurutnya, keselamatan maklumat merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen semua pihak dalam organisasi.

“Keberkesanan pelaksanaan ISMS bukan hanya bergantung kepada penggunaan teknologi dan sistem keselamatan, malah turut dipengaruhi oleh tahap kesedaran, pematuhan terhadap prosedur serta penglibatan aktif seluruh warga kerja dalam membudayakan amalan keselamatan maklumat.

“Organisasi perlu melihat keselamatan maklumat sebagai satu tanggungjawab bersama dan bukan hanya terletak di bawah tanggungjawab bahagian teknologi maklumat.

“Setiap warga organisasi memainkan peranan penting dalam melindungi maklumat melalui pematuhan kepada dasar, prosedur dan kawalan keselamatan yang telah ditetapkan. Pelaksanaan ISMS yang berkesan memerlukan komitmen pengurusan tertinggi, pengurusan risiko yang berterusan serta kesedaran keselamatan maklumat dalam kalangan seluruh warga organisasi,” katanya.

Sepanjang latihan berlangsung, peserta diberikan pendedahan mengenai pengenalan kepada ISMS, perbezaan keperluan standard ISO/IEC 27001:2013 dan ISO/IEC 27001:2022, keperluan standard terkini serta pendekatan persediaan ke arah pelaksanaan dan pensijilan ISMS.

Sesi perkongsian ilmu dan perbincangan turut memberi ruang kepada peserta untuk memahami dengan lebih mendalam keperluan standard serta kaedah mengaplikasikannya dalam konteks pengurusan keselamatan maklumat di UUM.

Melalui penganjuran latihan ini juga, UUM berharap dapat meningkatkan kompetensi pegawai yang terlibat, menyeragamkan kefahaman mengenai keperluan pelaksanaan ISMS merentas PTJ serta memperkukuh kesiapsiagaan universiti dalam menghadapi audit dalaman, audit pematuhan dan audit pensijilan.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam memperkukuh tadbir urus universiti, melindungi aset dan maklumat organisasi serta memastikan pengurusan keselamatan maklumat dilaksanakan secara terancang, sistematik dan selaras dengan keperluan standard antarabangsa.

Usaha ini juga menyokong pencapaian KPI Universiti TS6S2P2, iaitu Number of Accreditation System Security – ISMS for UUM, ke arah merealisasikan hasrat UUM untuk membangunkan sistem pengurusan keselamatan maklumat yang mantap, berdaya tahan dan diyakini, sekali gus memperkukuhkan keyakinan pihak berkepentingan terhadap keupayaan universiti dalam melindungi maklumat dan aset organisasi. – Siti Hajar Mat Isa

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button