ISU PATI CABAR KESELAMATAN KOMUNITI, KEDAULATAN NEGARA PERLU DIPERTAHANKAN
Gambar oleh: Mohd Fuad Hamid
SINTOK, 23 November 2026: Isu pendatang asing tanpa izin (PATI) perlu ditangani secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek keselamatan negara, kestabilan komuniti, kepentingan ekonomi dan tanggungjawab kemanusiaan, selain penguatkuasaan undang-undang imigresen.
Perkara itu dibincangkan dalam Program Bicara Eksekutif Pendatang Asing Tanpa Izin dan Keselamatan Komuniti: Mencari Keseimbangan antara Hak Asasi dan Kepentingan Nasional anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah dengan kerjasama Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan UUM-Research Institute for Indonesia, Thailand & Singapore (ITS) di Auditorium SOIS, UUM, di sini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri.
Forum tersebut menampilkan tiga ahli panel, iaitu Penolong Pengarah Kanan Seksyen Keselamatan Insan, Majlis Keselamatan Negara, Puan Nur Asiah Mohd Shariff; Timbalan Ketua Cawangan Khas (Risikan & Operasi), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, ACP Ramlan Haji Samuin; dan Pensyarah UUM, Prof. Madya Dr. Bakri Mat. Sesi forum dikendalikan oleh Pensyarah UUM, Dr. Md. Shukri Shuib.
Dari perspektif dasar kerajaan, Puan Nur Asiah menjelaskan bahawa pengurusan warga asing perlu berlandaskan prinsip kedaulatan negara, keselamatan dan kepentingan rakyat, tanpa mengetepikan obligasi antarabangsa serta pertimbangan kemanusiaan.
“Warga asing yang berada di Malaysia merangkumi beberapa kategori, antaranya pekerja asing yang dibawa masuk secara sah bagi memenuhi keperluan tenaga kerja, individu yang berhijrah atas faktor ekonomi serta golongan pelarian yang memerlukan perlindungan”, katanya.
Menurut beliau lagi, kemasukan pekerja asing, katanya, perlu disesuaikan dengan keperluan sebenar pasaran pekerjaan negara melalui kajian dan penilaian berkala oleh agensi berkaitan, termasuk Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi dan Kementerian Ekonomi.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan tidak menggalakkan kemasukan warga asing secara tidak sah, manakala individu yang didapati melanggar undang-undang imigresen boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan, termasuk penahanan dan pengusiran mengikut prosedur undang-undang yang berkuat kuasa.
Sementara itu, ACP Ramlan pula melihat isu PATI ini sebagai cabaran keselamatan yang lebih luas kerana berpotensi berkait dengan kegiatan jenayah, eksploitasi manusia dan pembentukan rangkaian jenayah terancang.
Antara kegiatan yang dibangkitkan termasuk kecurian, pecah rumah, jenayah seksual serta gangguan ketenteraman awam. Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kegiatan jenayah tidak boleh dikaitkan secara menyeluruh dengan semua warga asing kerana jenayah turut melibatkan rakyat tempatan.
Beliau turut menjelaskan bahawa kegiatan ekonomi yang dijalankan tanpa permit boleh berkembang menjadi rangkaian perniagaan tidak sah, sekali gus membuka ruang kepada pembentukan kartel dan kegiatan jenayah terancang.
“Kegiatan penyeludupan manusia dan pemerdagangan orang turut menjadi ancaman serius kerana melibatkan eksploitasi individu demi keuntungan, sekali gus menjejaskan keselamatan serta maruah manusia.

Dari sudut akademik, Dr. Bakri menjelaskan bahawa kedudukan geostrategik, pembangunan ekonomi dan kestabilan politik Malaysia merupakan antara faktor penarik yang menjadikan negara ini destinasi pilihan migran.
Menurut beliau, kedudukan Malaysia yang berkongsi sempadan darat dan maritim dengan negara jiran, selain terletak di laluan strategik Selat Melaka, mempengaruhi pergerakan manusia merentasi sempadan.
Faktor ekonomi turut memainkan peranan apabila peluang pekerjaan, khususnya dalam sektor yang dikategorikan sebagai 3D iaitu Dirty, Dangerous and Difficult (kotor, berbahaya dan sukar), mewujudkan permintaan terhadap tenaga kerja asing.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa migrasi turut dipengaruhi faktor penolak di negara asal, termasuk konflik politik, ketidakstabilan, diskriminasi, penafian hak kewarganegaraan serta pencabulan hak asasi manusia.
Mengulas pengalaman penyelidikannya berkaitan pelarian Rohingya dan Syria, beliau berkata isu migrasi perlu difahami melalui dimensi yang lebih luas kerana sebahagian pergerakan manusia berlaku akibat konflik dan keadaan yang mengancam keselamatan serta kehidupan mereka.

Justeru, pengurusan migrasi tidak seharusnya tertumpu kepada kawalan kemasukan semata-mata, sebaliknya perlu disokong oleh penguatkuasaan undang-undang yang berkesan, penyelarasan antara agensi serta tindakan tegas terhadap pihak yang mengeksploitasi golongan rentan.
Secara keseluruhannya, forum tersebut menekankan bahawa usaha menjaga keselamatan komuniti dan kedaulatan negara memerlukan keseimbangan antara dasar kerajaan, penguatkuasaan keselamatan, pemahaman terhadap faktor migrasi serta pendekatan kemanusiaan.
Turut hadir ialah Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah, Puan Hajah Zuraini Mohd Yusof; Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS) UUM, Prof. Madya Dr. Nazriyah Osman; ketua-ketua jabatan, wakil ketua jabatan, pegawai MKN serta pegawai dan pensyarah UUM.



