Pelancaran tiga syarikat terbitan universiti rancak aktviti inovasi dan pengkomersialan
Gambar Noor Azlina Che Daud
SINTOK, 21 Januari 2025: Pelancaran tiga syarikat terbitan universiti bakal merancakkan lagi aktiviti inovasi dan pengkomersialan di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan telah melancarkan tiga syarikat terbitan yang mengkomersialkan harta intelek universiti iaitu EDUMi Sdn. Bhd, Shazign Solution dan Lensa Mimpi Empire pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 di Auditorium Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), baru-baru ini.
Syarikat spin-off merupakan syarikat terbitan universiti yang dibangunkan oleh staf bagi tujuan mengkomersialkan harta intelek universiti, manakala Business SandBox pula adalah hasil usaha pelajar yang mengkomersialkan harta intelek universiti dan dibantu oleh mentor dari kalangan staf yang berpengalaman luas.
Ketiga-tiga entiti ini adalah syarikat terbitan universiti sulung yang akan menjadi pemangkin pengkomersialan harta intelek UUM.
EDUMi Sdn. Bhd. merupakan syarikat pendidikan digital dan perundingan penempatan pelajar (digital education and placement consultancy) yang menjalankan urusniaga penghantaran dan penempatan pelajar ke institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.
Staf UUM yang membangunkan syarikat tersebut ialah Dr. Abdul Rahman Jaaffar dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) dan Dr. Mohd Aamir Adeeb Abdul Rahim dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif. Rakan kongsi mereka ialah Mejar Mahadi Hj Shukor RMAF (B) seorang yang berpengalaman dalam dunia perniagaan.
Sementara Shazign Solution ialah entiti perniagaan Business SandBox yang menyediakan perkhidmatan percetakan berkualiti tinggi. Entiti perniagaan ini menghasilkan jersi, banner, bunting dan lain-lain cetakan.
Pengasas perniagaan tersebut adalah Muhammad Razin Amzar Md. Aris dan Nurul Athirah Sohimi dari SBM. Mereka dibimbing oleh mentor dari kalangan staf iaitu Dr. Abdul Rahman Jaaffar dan Dr. Norria Zakaria juga dari SBM.
Business SandBox kedua ialah Lensa Mimpi Empire yang memfokuskan kepada perkhidmatan penghantaran mengejut (surprise delivery), gubahan dan pengurusan acara (event management). Pengasas bagi perniagaan tersebut adalah Irdina Nabilah Romzi yang merupakan pelajar SBM. Beliau dibantu oleh seorang mentor iaitu Dr. Mohd Sufli Yusof juga dari SBM.
Sehubungan dengan itu, Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) akan memberikan bimbingan dan sokongan kepada tiga syarikat terbitan ini melalui pelbagai inisiatif, termasuk latihan, transformasi digital untuk meningkatkan keberkesanan operasi, dan membantu memberi akses kepada pelabur serta jaringan industri.
Pengarah ICC, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd. Faizal Omar telah menzahirkan penghargaan kepada pengurusan universiti yang menyokong dan meluluskan aktivit pengkomersialan harta intelek universiti melalui syarikat terbitan.
Menurutnya, ICC sentiasa bersedia memberikan sokongan dan bimbingan kepada staf dan pelajar yang ingin menceburi bidang perniagaan melalui pengkomersialan harta intelek universiti.
Sehubungan itu, mana-mana staf dan pelajar universiti yang berminat menubuhkan syarikat spin-off atau Business SandBox boleh terus berhubung dengan Unit Inkubator ICC melalui talian 04-928 8759 atau e-mel inovasi@uum.edu.my – Prof. Madya Dr. Ani Munirah Mohamad