TISSA-UUM dan TYMBA Education Group teroka kerjasama strategik perakaunan profesional
Berita dan gambar oleh: Prof. Madya Dr. Saliza Abdul Aziz
KUALA LUMPUR, 19 Jun 2026: Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) terus memperkukuh jalinan kerjasama dengan pihak industri menerusi satu sesi perbincangan strategik bersama TYMBA Education Group yang berlangsung di TYMByte.
Sesi perbincangan tersebut memfokuskan pada beberapa agenda utama untuk memperkasakan graduan dan ekosistem pembelajaran perakaunan. Antara perkara penting yang dicadangkan termasuk penubuhan Pusat Latihan (Training Centre) serta kolaborasi program Industry on Campus (IoC) bagi membawa pengalaman industri secara langsung ke dalam kampus.

Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan peluang tajaan reka bentuk penambahbaikan kelas dan promosi TYMBA di UUM, di samping tajaan Professional Papers kepada pelajar perakaunan TISSA serta pensijilan profesional melalui program Training of Trainers (ToT) untuk para pensyarah.
Pihak TYMBA dan UUM juga melihat ruang kerjasama lain yang lebih luas, termasuk penempatan latihan industri (internship) yang komprehensif bagi pelajar TISSA.
Pertemuan ini diharapkan dapat membuka ruang yang lebih luas kepada pelbagai bentuk kolaborasi strategik berimpak tinggi yang memberikan manfaat bersama, terutamanya dalam melahirkan modal insan yang kompeten dan memenuhi kehendak pasaran global.
Delegasi UUM diketuai oleh Dekan TISSA, Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd Ali. Turut serta dalam kunjungan hormat dan perbincangan ini ialah Pengarah Centre for University-Industry Collaboration (CUIC), Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, serta Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) TISSA, Prof. Madya Dr. Saliza Abdul Aziz.



