Campus

UUM-CBAL Solutions teroka kolaborasi strategik, perkasa pelajar TISSA dengan Perisian Perakaunan

Berita dan gambar oleh: Prof. Madya Dr. Saliza Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 19 Jun 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh jalinan kerjasama strategik bersama pihak industri melalui satu sesi perbincangan lanjutan antara Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) serta Tunku Puteri Intan Safinaz School of Accountancy (TISSA-UUM) bersama syarikat penyedia penyelesaian industri, CBAL Solutions Sdn Bhd.

Perbincangan yang berlangsung di pejabat CBAL Solutions Sdn Bhd, Menara Safuan hari ini memfokuskan kepada potensi kolaborasi berimpak tinggi dalam memperkasakan pendidikan perakaunan melalui sumbangan teknologi.

Fokus utama sesi tersebut adalah mengenai hasrat pihak CBAL Solutions untuk mewakafkan sebuah perisian perakaunan yang telah dibangunkan oleh syarikat berkenaan khusus untuk kegunaan para pelajar TISSA-UUM.

Menariknya, inisiatif murni ini merupakan cetusan idea dan legasi peninggalan Allahyarhamah Prof. Dr. Arfah Binti Salleh, mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Inisiatif wakaf perisian perakaunan ini dijangka bakal memberikan nilai tambah yang signifikan kepada pelajar TISSA-UUM dalam menguasai kemahiran praktikal selaras dengan keperluan industri perakaunan masa kini.

Penggunaan perisian seumpama ini di peringkat pengajian tinggi amat penting bagi memastikan graduan UUM kekal kompetitif, holistik, dan bersedia mendepani cabaran dunia kerjaya sebenar. Ia juga diharapkan dapat membuka lebih banyak ruang kolaborasi strategik yang lebih meluas antara UUM dan CBAL Solutions Sdn Bhd pada masa hadapan demi kecemerlangan akademik dan industri.

Hadir mewakili UUM ialah Dekan TISSA-UUM, Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd Ali, Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Madya Dr. Saliza Abdul Aziz, dan Pengarah AISRED, Dr. Mohd Hisham Mohd Sharif, manakala pihak industri diwakili oleh Pengarah CBAL Solutions Sdn Bhd, Encik Mat Sham bin Ahmad. – Prof. Madya Dr. Saliza Abdul Aziz

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button