Education

SOC dan JPJ Kedah anjur Seminar AI sebagai Agen Transformasi Pengangkutan Jalan

Berita dan gambar Dr. Hapini Awang

ALOR SETAR, 23 Jun 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah telah menganjurkan Seminar Kecerdasan Buatan (AI) sebagai Agen Transformasi Pengangkutan Jalan bertempat di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah, semalam.

Seminar ini merupakan sebahagian daripada sesi jaringan kolaborasi strategik antara UUM dan JPJ Kedah bagi memperkukuhkan kerjasama dalam bidang transformasi digital, terutamanya dalam meneroka potensi AI dalam pengurusan trafik masa hadapan.

Seminar ini dilaksanakan di bawah inisiatif DIGIHAZ – SCOPE HE Grant yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mazni Omar.

Majlis ini dirasmikan oleh Pengarah JPJ Negeri Kedah, Stien Van Lutam yang menyambut baik usaha kolaboratif antara UUM dan JPJ Kedah untuk memperkukuhkan kefahaman warga kerja terhadap potensi AI sebagai pemacu transformasi pengangkutan jalan.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan kepentingan aplikasi AI, analitik data dan teknologi digital dalam menyokong inovasi serta penambahbaikan proses kerja dalam sektor pengangkutan jalan.

Pengisian utama seminar ini disampaikan oleh dua pembentang ucaptama iaitu Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik, Prof. Madya Dr. Mazida Ahmad dan Ketua Makmal Penyelidikan Human Centered Computing, SOC, Prof. Madya Dr. Azizi Abdul Aziz.

Dr. Mazida menyampaikan ucaptama berkaitan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk kakitangan JPJ, manakala Dr. Azizi Abdul menyampaikan ucaptama berkaitan masa depan pengurusan trafik pada era AI.

Seminar ini turut menampilkan pameran projek akhir pelajar sarjana muda berkaitan pengurusan trafik dan lalu lintas berasaskan AI yang diketuai oleh Dr. Mohamad Sabri Sinal @ Zainal bersama empat pelajar SOC.

Projek-projek ini berjaya menarik minat pegawai-pegawai JPJ yang hadir, sekali gus membuka peluang kepada kolaborasi yang lebih lanjut. Bagi memperluas capaian kepada komuniti luar, seminar ini turut disiarkan secara langsung melalui platform rasmi Facebook UUM dan YouTube UUMTube. Penyertaan juga dibuka melalui pautan pendaftaran dalam talian yang disediakan oleh pihak penganjur.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, khususnya barisan penceramah, pensyarah serta pelajar dari Pusat Pengajian Pengkomputeran, UUM.

Seminar ini menjadi satu platform penting dalam memperkukuhkan hubungan strategik antara UUM dan JPJ Kedah, di samping menyokong agenda transformasi digital negara melalui pembangunan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran teknologi masa hadapan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button