Jurnal dan buletin jadi alat komunikasi SOL
Gambar Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 15 Januari 2025: Pelancaran Jurnal ASEAN Legal Insights dan Buletin SOL ZONE diharap dapat menjadi platform kepada ahli akademik untuk menyampaikan maklumat dan menjadi sumber komunikasi berkaitan pusat pengajian, khususnya.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, ia merupakan simbol kejayaan berterusan dan usaha bersepadu pengurusan dan warga SOL untuk inisiatif menerbitkan satu jurnal berwasit di peringkat SOL yang akan menjadi satu wadah bagi tujuan penerbitan artikel-artikel berwasit di mana isu pertamanya telah berjaya diterbitkan secara online pada Disember 2024 yang lalu.
Menurutnya, kejayaan SOL yang dimulakan dengan penerbitan jurnal undang-undang berwasit yang dikenali dengan nama UUM Journal of Legal Studies (UUMJLS) dan diteruskan dengan usaha padu dengan kejayaan mengangkat UUMJLS mencapai jurnal berstatus Scopus dan menjadi jurnal universiti.
Katanya, beliau yakin Jurnal ASEAN Legal Insights dan Buletin SOL ZONE mampu untuk mengukuhkan identiti SOL kepada warga universiti, komuniti setempat, jaringan industri dan masyarakat amnya.
“Hal ini kerana kedua penerbitan ini dapat diakses dengan mudah menerusi laman web dan juga portal Facebook SOL. Tahniah dan syabas kepada warga SOL kerana telah mewujudkan dua inisiatif yang penting dalam penyaluran ilmu pengetahuan di bidang undang-undang.
“Inisiatif ini bukan sahaja memperlihatkan usaha berterusan SOL untuk meningkatkan pemahaman dan pengetahuan dalam bidang perundangan, tetapi juga mencerminkan komitmen berterusan SOL dalam memacu kecemerlangan dalam pendidikan undang-undang di negara ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Jurnal ASEAN Legal Insights dan Buletin SOL ZONE di Foyer COLGIS, hari ini.
Jurnal ASEAN Legal Insights akan diterbitkan pada bulan September setiap tahun, manakala Buletin SOL ZONE diterbitkan dua kali setahun.
Sementara itu, Penolong Naib Canselor UUM COLGIS dan Dekan SOL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab berkata, majlis ini bukan sahaja penting sebagai tanda pencapaian SOL tetapi menunjukkan satu komitmen untuk semua khususnya ahli akademik dalam hasrat meletakkan budaya penyelidikan dan penerbitan sebagai satu agenda memnuhi hasrat universiti secara keseluruhan.
Menurutnya, Buletin SOL Zone ini mempunyai peranan besar kerana bukan sahaja platform menunjukkan perkembangan dan aktiviti pusat pengajian tetapi menjadi ruang komuniti akademik menjalin hubungan antara ahli fakulti, pelajar dan masyarakat luar.
Katanya, ia menjadi saluran komunikasi dua hala yang tidak hanya menyebarkan informasi tetapi merakam sejarah dan pencapaian penting di SOL.
“Buletin ini membuka ruang selain memaparkan aktivit sepanjang tahun tetapi ahli akademik menyumbang idea tentang penulisan pendek berkonsepkan semasa dan bermatlamat untuk menyumbang pemahaman undang-undang di sekitar ASEAN.
“Sementara jurnal yang julung kali diterbitkan ini adalah rentetan kejayaan yang dicapai SOL dan pada masa sama kita menghargai idea dan kreativiti rakan-rakan yang sukar untuk menembusi jurnal berstatus Scopus, maka disediakan platform untuk jurnal lain yang khusus kepada negara ASEAN,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penerbitan jurnal diketuai Prof. Madya Dr. Aspalella A. Rahman dan buletin diketuai Dr. Muhammad Hafiz Badarulzaman.
Hadir sama, Timbalan naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail; Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah; Ketua Pustakawan, Prof. Dr. Che Azlan Taib dan pegawai-pegawai kanan universiti.