Dari Sisa ke Rezeki: Kampung Lestari perkasa kesedaran komuniti di Kampung Rawa
Gambar Nurul Ain Najwa Mohamad Jamil
CHANGLUN, 21 April 2026: Program Dari Sisa ke Rezeki: Kampung Lestari di bawah Projek Transformasi Changloon (CTP) – The Knowledge Society telah berjaya dilaksanakan dengan penglibatan aktif komuniti setempat serta sokongan padu pelbagai pihak berkepentingan termasuk Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), Inapan Siswa (Inasis) TNB dan E-Idaman Sdn. Bhd. dalam usaha memperkasakan kesedaran terhadap pengurusan bahan sisa secara lestari.
Ketua Penyelidik Projek Transformasi Changloon (CTP), Dr. Masnita Misiran merangkap penaung program berkata, program ini digerakkan melalui dua teras utama iaitu Transformasi Bahan Sisa dan Transformasi Ilmu Pengetahuan.

Menurutnya, pemilihan Kampung Rawa sebagai lokasi program adalah berdasarkan kekuatan hubungan komuniti serta semangat tinggi penduduk dalam menyokong aktiviti pembangunan setempat.
Katanya, inisiatif ini turut mengambil kira cabaran semasa, termasuk sikap masyarakat yang semakin kurang peka terhadap pengurusan sisa seperti penggunaan plastik secara berlebihan dan pembuangan sampah secara tidak terkawal. Justeru, pendekatan berasaskan komuniti dilihat sebagai strategi paling berkesan untuk membentuk perubahan tingkah laku secara berperingkat.
“Terima kasih kepada komuniti Kampung Rawa atas sambutan yang amat baik serta semangat komuniti yang tinggi sepanjang program berlangsung.

“Begitu juga penghargaan ini kepada pihak E-Idaman Sdn. Bhd. atas kerjasama erat yang diberikan dan menyatakan harapan agar kolaborasi strategik ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Program dimulakan pada 18 Mac 2026 melalui aktiviti kutipan bahan sisa pertama yang berjaya mengumpulkan sebanyak 492 kilogram bahan seperti kertas, plastik, tin aluminium, besi buruk dan minyak masak terpakai dengan kerjasama strategik pihak E-Idaman Sdn. Bhd.
Seterusnya, Bengkel Eko-Kraft pada 27 Mac 2026 melibatkan 23 peserta kanak-kanak dan remaja berumur antara 6 hingga 13 tahun. Bengkel ini turut mendapat kerjasama daripada Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu (SBPIKP) melalui penglibatan dua orang guru sebagai penceramah dan jurulatih.

Melalui sesi perkongsian amalan 3R serta demonstrasi secara hibrid, peserta berjaya menghasilkan dua produk iaitu bekas pensil dan lampu tidur daripada botol plastik terpakai. Aktiviti berkumpulan yang dibantu oleh tujuh orang sukarelawan ini berjaya memupuk kreativiti, kerjasama serta keyakinan diri dalam kalangan peserta.
Pada 17 April 2026, Eco Plogging Challenge telah dianjurkan dengan penglibatan pelajar daripada Inasis TNB, pelajar kursus Kokurikulum Community Development serta penduduk kampung. Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan melalui tiga laluan utama sambil mengutip sampah serta merakam gambar kreatif di check point yang ditetapkan. Aktiviti ini bukan sahaja membersihkan kawasan kampung, malah mempromosikan keindahan alam sekitar Kampung Rawa.
Program diteruskan dengan aktiviti penghasilan arca daripada bahan sisa yang dikutip, di mana peserta berjaya menyiapkan tiga arca kreatif dalam tempoh yang ditetapkan dan pada masa sama, aktiviti rewang yang melibatkan penduduk kampung dan pelajar universiti turut dijalankan, sekali gus mengeratkan hubungan antara komuniti dan institusi pendidikan.

Kemuncak program berlangsung pada 18 April 2026 melalui Hari Kitar Semula yang diserikan dengan kehadiran Pengarah Pejabat Kelestarian, Prof. Madya Dr. Azharudin Ali; Timbalan Pengarah Pejabat Kelestarian, Dr. Tuan Muhammad Zukri Tuan Sembok; Pengarah Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), Prof. Madya Dr. Zahayu Md Yusof dan Pengetua Inasis TNB, Mohd Fadzli Suhaimi.
Pertandingan kutipan bahan sisa kali kedua turut berlangsung dan berjaya mengumpulkan sebanyak 1,126.5 kilogram bahan kitar semula, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi komuniti terhadap amalan lestari.
Sepanjang majlis, penghargaan turut diberikan kepada rakan kolaborasi utama termasuk SBPIKP, E-Idaman dan komuniti Kampung Rawa atas komitmen mereka dalam menjayakan program ini. – Wan Aisyah Khairani Wan Muhammad Nasri



