Pelajar STHEM meneroka pembelajaran berasaskan pengalaman di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC)
Berita dan gambar oleh: Dr. Azizah Ismail
PULAU PINANG, 14 Mei 2026: Seramai 45 orang pelajar subjek Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions (MICE) Management daripada Pusat Pengajian Pengurusan Hospitaliti, Pelancongan dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai lawatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) ke Penang Waterfront Convention Centre (PWCC), Pulau Pinang.
Delegasi lawatan ini diketuai oleh Dr. Azizah Ismail, pensyarah bagi kursus MICE Management STHEM, UUM dan tujuan lawatan adalah untuk memberikan pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai pengoperasian pusat konvensyen sebagai venue utama bagi penganjuran acara berasaskan perniagaan atau business events.

Program ini merupakan platform penting dalam menghubungkan teori pembelajaran di bilik kuliah dengan realiti industri Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions (MICE) yang sebenar.
Delegasi STHEM UUM telah disambut mesra oleh wakil industri iaitu Encik Daric Lee, Manager Customer Service, Public Relation & Communication PWCC; Encik Mohd Soufi Abd Rahim, Manager Marketing & Sales Department PWCC; Encik Taufik Adros, Assistant Manager Food & Beverages daripada Foodlink; serta Cik Janice Ooi, Sales Executive daripada Penang Convention & Exhibition Bureau (PCEB).
Sepanjang lawatan, para pelajar didedahkan kepada pelbagai aspek pengurusan dan operasi pusat konvensyen termasuk proses pelaksanaan acara, pemilihan venue, susun atur ruang, pengurusan logistik, pemasaran acara, pengendalian makanan dan minuman, serta koordinasi pelbagai pihak berkepentingan dalam ekosistem business events.

Selain sesi perkongsian industri, pelajar turut dibawa melawat fasiliti utama PWCC bagi memahami fungsi setiap ruang dan keperluan operasi sesuatu acara berskala besar. Pengalaman ini membantu pelajar memahami proses kerja sebenar dalam industri serta cabaran pengurusan acara profesional.
Menurut pengarah program iaitu Cik Nur Shahirah Abdul Aziz, lawatan pembelajaran berasaskan pengalaman ini memberikan peluang kepada pelajar untuk memahami operasi industri MICE secara lebih dekat dan realistik. Beliau menyatakan bahawa pendedahan secara langsung di PWCC membantu pelajar menghubungkan teori yang dipelajari di dalam kelas dengan situasi sebenar industri, khususnya dalam aspek pengurusan venue, koordinasi acara dan ekosistem business events.
Selain itu, program seperti ini turut memberi gambaran awal mengenai prospek kerjaya serta meningkatkan motivasi pelajar untuk menceburi industri MICE pada masa hadapan.

Hasil daripada kunjungan ini juga telah berjaya membuka ruang kerjasama strategik apabila kedua-dua pihak mencapai persetujuan awal bagi memulakan proses Letter of Intent (LOI) antara STHEM UUM dengan PWCC serta PCEB.
Kerjasama ini dijangka memberi manfaat kepada pembangunan akademik, penyelidikan, latihan industri serta peluang pendedahan profesional kepada pelajar dalam bidang MICE dan business events. Program ini diharapkan dapat terus memperkukuhkan hubungan antara institusi akademik dan industri dalam usaha melahirkan graduan yang lebih kompeten, relevan dan bersedia memenuhi keperluan industri business events pada masa hadapan.



