Peranan setiausaha syarikat dalam tadbir urus korporat dikupas dalam forum ilmiah TISSA-UUM
Berita dan gambar oleh: Muhammad Muadz Madzlan
SINTOK, 21 Mei 2026: Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Universiti Utara Malaysia (TISSA-UUM) telah menganjurkan satu forum ilmiah bertajuk “Peranan Setiausaha Syarikat Dalam Tadbir Urus Korporat” bertempat di Dewan Seminar Pusat Islam Universiti Utara Malaysia.

Program yang berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini menghimpunkan tokoh-tokoh berpengalaman dalam bidang tadbir urus korporat dan pengurusan syarikat bagi membincangkan peranan strategik setiausaha syarikat dalam memastikan kelangsungan tadbir urus organisasi yang cekap, telus dan berintegriti.
Forum tersebut menampilkan Dato’ Akhbar Moidunny, Presiden MAICSA sebagai Panel 1, manakala Yang Berbahagia Datuk Hj Mazlan Hj Ahmad, Council Member FCIS (CS), CGP sebagai Panel 2. Sesi forum telah dikendalikan oleh Mr. Justin J. Anthony, CEO MAICSA sebagai moderator.

Antara pengisian utama forum termasuk peranan setiausaha syarikat sebagai penasihat kepada lembaga pengarah, pemantau pematuhan undang-undang dan peraturan, pengurus dokumentasi korporat serta penjaga integriti dan etika organisasi.
Selain itu, forum turut memberi penekanan terhadap kepentingan komunikasi efektif dan tadbir urus korporat yang baik dalam memastikan kecemerlangan sesebuah organisasi.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen TISSA-UUM dalam memperkukuh jaringan akademik dan profesional serta meningkatkan kefahaman mahasiswa dan masyarakat terhadap kepentingan tadbir urus korporat dalam landskap organisasi masa kini.



