Program SULAM UUM perkasa kesedaran komuniti melalui kanvas keselamatan negara di Alor Setar
Berita dan gambar oleh: Azrina bt. Abdul Razak
ALOR SETAR, 22 Mei 2026: Program Kanvas Keselamatan Negara, sebuah inisiatif Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM), telah berjaya dilaksanakan di Lorong Selamat, Alor Setar, melibatkan seramai 136 pelajar secara sistem giliran kerja sepanjang tempoh program pada 12, 17 dan 18 Mei 2026.
Inisiatif ini merupakan kerjasama antara SCIMPA Universiti Utara Malaysia (UUM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah dan Alatmart selaku penaja, melibatkan pelajar daripada kursus SDCIK3183 dan SDCDK1013 bersama tiga pensyarah penyelaras. Turut terlibat adalah pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS).

Bertemakan “Keselamatan Negara, Tanggungjawab Bersama”, program ini berjaya menghasilkan lima mural di sekitar Lorong Selamat yang mengetengahkan mesej keselamatan negara, patriotisme dan keharmonian kaum.
Dilaksanakan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015–2025 (Pendidikan Tinggi), program SULAM menggabungkan pembelajaran akademik dengan khidmat komuniti melalui pendekatan experiential learning dan High Impact Educational Practices (HIEPs).
Kemuncak program ini adalah Majlis Perasmian Penutup yang berlangsung pada 22 Mei 2026, jam 9 malam di Lorong Selamat. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB Dr. Mohammed Taufiq bin Johari, Menteri Belia dan Sukan, merangkumi upacara menandatangani dinding mural, walkabout di Lorong Selamat serta penyampaian cenderahati kepada rakan kolaborasi strategik program ini.

Pensyarah penyelaras, Azrina Abdul Razak, berkata pengalaman turun padang ini memberi nilai pembelajaran yang melampaui bilik kuliah. “Pelajar bukan sahaja mengaplikasikan kemahiran komunikasi dan visual, malah belajar berunding, merancang dan bekerja dalam pasukan yang melibatkan agensi luar. Itulah intipati SULAM,” katanya.
Salah seorang pelajar yang terlibat, Tan Zhen Fei, turut berkongsi pengalamannya. “Saya tidak menyangka pengalaman melukis mural ini begitu bermakna. Bukan sekadar menghasilkan karya seni, tetapi kami benar-benar belajar berkomunikasi dan bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam situasi sebenar. Ia pengalaman yang tidak akan saya lupakan,” katanya.

Mohd Zulhilmi bin Zulkifly, Ketua Penolong Pengarah Keselamatan Negeri MKN Kedah, turut merakamkan penghargaan atas kejayaan program ini. “Lorong yang dahulunya kelihatan suram kini berjaya diceriakan dengan sentuhan kreatif dan semangat komuniti. Saya berharap masyarakat dapat bersama-sama menjaga keindahan Alor Setar dan membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam mempromosikan keselamatan,” katanya.
Turut menjayakan program ini ialah Dr. Adzira Husain dan Alis Suraya Shaharim selaku pensyarah penyelaras, serta Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi (TDPI), Prof. Madya Dr. Syamsul Baharin Zaibon, yang turut hadir memberikan sokongan dan komitmen pihak pengurusan SCIMPA terhadap inisiatif khidmat komuniti ini.



