Campus

Sesi perkongsian kepimpinan strategik perkukuh aspirasi masa depan IBS

Berita dan gambar oleh: Dr. Nurul Azma Abu Bakar

PULAU PINANG, 21 – 23 Mei 2026: Pusat Pengajian Perniagaan  Islam (Islamic Business School [IBS]), Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Pelan Strategik dan Pemantapan Hala Tuju Sempena 15 Tahun IBS 2026 bertempat di The Light Hotel, Pulau Pinang lalu.

Bengkel ini telah menghimpunkan barisan kepimpinan utama IBS terdiri daripada Dekan, Timbalan-timbalan Dekan, Pengerusi-pengerusi Program, Pengarah Centre of Excellent (CoE) serta warga IBS yang turut memegang jawatan pentadbiran di peringkat universiti.

Bengkel tersebut menjadi platform perbincangan strategik bagi memperkukuh hala tuju IBS selaras dengan aspirasi ulang tahun ke 15 penubuhannya, di samping membina sinergi dalam kalangan warga kepimpinan IBS ke arah memperkasakan peranan institusi pada masa hadapan.

Slot pertama bengkel dimulakan dengan ucapan aluan oleh Dekan IBS, Prof. Dr. Selamah Maamor sebelum diteruskan dengan sesi perkongsian bertajuk Inspirational Leadership: From Vision to Excellence: Building a World Class Shariah Based Faculty yang disampaikan oleh Prof. Dr. Rosna Awang-Hashim, yang merupakan mantan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antabangsa UUM.

Dalam sesi tersebut, Prof. Rosna berkongsi pandangan mengenai kepentingan kepimpinan berwawasan dalam membentuk sebuah fakulti berteraskan Syariah yang mampu berdaya saing di peringkat global tanpa mengabaikan identiti dan nilai teras institusi. Beliau turut menekankan bahawa IBS perlu kembali memperkukuh identiti asal penubuhannya sebagai institusi yang menawarkan pendekatan alternatif kepada model sekolah perniagaan konvensional melalui falsafah ekonomi berasaskan nilai, kepimpinan berteraskan amanah serta pembangunan insan secara holistik.

Sesi perkongsian tersebut turut berlangsung secara interaktif menerusi sesi soal jawab dan pertukaran pandangan bersama para peserta bengkel. Barisan penjawat IBS turut berkongsi pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan di peringkat pusat, program dan pentadbiran universiti, termasuk usaha penambahbaikan yang sedang dan akan dilaksanakan bagi memperkukuh kedudukan IBS pada masa hadapan.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk keperluan IBS untuk memainkan peranan lebih signifikan dalam menyelesaikan cabaran semasa masyarakat dan industri seperti integriti rantaian bekalan halal, kecekapan agihan zakat dan literasi kewangan Islam. Selain itu, perbincangan turut menyentuh kepentingan memperkukuh kolaborasi di pelbagai peringkat supaya usaha pembangunan akademik, penyelidikan dan jaringan industri dapat digerakkan secara lebih bersepadu dan berimpak tinggi.

Prof. Rosna turut menekankan potensi peluasan pendidikan eksekutif melalui pembangunan program mikro credential, latihan profesional dan program kepimpinan global yang mampu meningkatkan pengaruh serta keterlihatan IBS di peringkat antarabangsa.

Secara keseluruhannya, sesi tersebut bukan sahaja membuka ruang refleksi terhadap pencapaian dan cabaran semasa IBS, malah berjaya mewujudkan suasana perbincangan yang konstruktif dan kolaboratif dalam kalangan warga kepimpinan IBS bagi membentuk hala tuju strategik institusi yang lebih jelas, mampan dan relevan untuk masa depan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button