SOE UUM perkukuh jaringan strategik bersama Politeknik dan Kolej Komuniti Sandakan dalam memacu agenda Pendidikan Tinggi Negara
Berita dan gambar oleh: Muhd Zulhilmi Haron
SANDAKAN, 7 Mei 2026: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperluas pengaruh akademik dan jaringan strategik di peringkat nasional menerusi kunjungan rasmi delegasi SOE UUM ke Politeknik Sandakan Sabah (PSS) dan Kolej Komuniti Sandakan dalam usaha memperkukuh kolaborasi pendidikan tinggi serta pembangunan profesional warga akademik negara.

Delegasi SOE UUM diketuai oleh Dekan SOE UUM, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Haji Othman bersama Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Rahimi Yusof serta Pengerusi Program Pascasiswazah Luar Kampus/Pesisir, Dr. Muhd Zulhilmi Haron. Kehadiran delegasi tersebut disambut mesra oleh pihak pengurusan Politeknik Sandakan Sabah dan Kolej Komuniti Sandakan dalam suasana penuh ukhuwah dan semangat kolaboratif.
Pertemuan strategik itu memberi fokus kepada beberapa agenda utama termasuk perbincangan penawaran program pascasiswazah SOE UUM di Sandakan khususnya bagi memenuhi keperluan pensyarah, pegawai akademik serta pengamal pendidikan di Sabah yang ingin melanjutkan pengajian pada peringkat sarjana dan kedoktoran secara fleksibel. Inisiatif ini dilihat mampu memperluas akses pendidikan tinggi berkualiti kepada warga pendidik di kawasan pesisir dan Sabah secara keseluruhannya.

Selain itu, kedua-dua institusi turut membincangkan potensi kolaborasi penyelidikan di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memberi tumpuan kepada penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang pendidikan, TVET, inovasi pedagogi serta pembangunan modal insan. Kerjasama ini dijangka membuka ruang kepada pelaksanaan projek penyelidikan bersama, penerbitan akademik, perkongsian kepakaran serta pembangunan jaringan penyelidikan rentas institusi melibatkan universiti, politeknik dan kolej komuniti.
Delegasi SOE UUM turut membentangkan cadangan penawaran program sijil eksekutif kepada pensyarah politeknik dan kolej komuniti sebagai usaha memperkasa kompetensi profesional tenaga akademik selaras dengan tuntutan semasa pendidikan tinggi dan Revolusi Industri 4.0. Program berorientasikan pembangunan profesional berterusan (CPD) itu dijangka memberi nilai tambah kepada pembangunan kerjaya pensyarah TVET di Malaysia, khususnya di Sabah.

Menurut Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi, hubungan strategik antara universiti dan institusi TVET amat penting dalam memastikan ekosistem pendidikan tinggi negara terus relevan, inklusif dan responsif terhadap keperluan industri serta masyarakat. Beliau turut menegaskan bahawa SOE UUM komited menjadi rakan strategik kepada institusi pendidikan di seluruh negara dalam memperkasa agenda pendidikan MADANI melalui pendekatan kolaboratif dan perkongsian kepakaran.
Sementara itu, pihak Politeknik Sandakan Sabah dan Kolej Komuniti Sandakan menyambut baik hasrat kerjasama tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah signifikan dalam memperluas peluang pembangunan akademik dan profesional kepada warga institusi TVET di Sabah.
Kunjungan ini sekali gus mencerminkan komitmen berterusan SOE UUM dalam memperkukuh visibility institusi di peringkat kebangsaan menerusi jaringan strategik rentas institusi, selain menyokong agenda transformasi pendidikan tinggi negara yang mampan, progresif dan berimpak tinggi.



