UUM dan OIB Group teroka peluang kerjasama ke arah kelestarian dan pembangunan komuniti
Gambar CUIC
SINTOK, 21 April 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan hormat daripada OIB Group, sebuah syarikat pembangunan hartanah terkemuka, dalam usaha memperkukuh jalinan kerjasama strategik antara institusi akademik dan industri.
Delegasi OIB diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif OIB Group, Low Kok Shen, disertai oleh beberapa pegawai kanan syarikat iaitu Pegawai ESG, Dhivyadharshini a/p Ganesan; Ketua Bahagian Budaya, Low Kok Ping; Pegawai Undang-Undang, Ilhami Thurayya Md Shuhaime, dan Juruaudit Dalaman, Jenine Soon Xin-Jen.
Kehadiran OIB disambut oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, bersama barisan pengurusan kanan universiti.
Dr. Mohd Foad berkata, perbincangan ini telah membuka pelbagai peluang kerjasama yang berpotensi memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak.
Menurutnya, antara fokus utama perbincangan termasuk pelaksanaan inisiatif kelestarian dan ESG, penglibatan dalam Program Transformasi Changlun yang memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti setempat, serta perancangan pelbagai projek komuniti melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang boleh melibatkan penyertaan pelajar UUM.
“Selain itu, OIB Group turut menyatakan kesediaan mereka untuk menyediakan peluang latihan industri kepada pelajar UUM dan ia merupakan satu langkah proaktif dalam memperkasa pembangunan pelajar,” katanya.
Sementara itu, Kok Shen berkata, kolaborasi dengan institusi pengajian tinggi awam seperti UUM adalah sejajar dengan komitmen mereka untuk membentuk ekosistem komuniti yang lestari, progresif dan inklusif.
Oriental Interest Berhad (OIB Group) merupakan syarikat pembangunan hartanah yang ditubuhkan sejak tahun 1986 dan beribu pejabat di Sungai Petani, Kedah. OIB terkenal dengan pelbagai projek pembangunan perumahan dan komersial di seluruh negara yang menekankan konsep pembangunan komuniti bersepadu serta pematuhan terhadap prinsip Environmental, Social & Governance (ESG) dalam setiap aspek operasi mereka.
Kunjungan ini diharap dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama berimpak tinggi antara UUM dan pihak industri, khususnya dalam melahirkan mahasiswa holistik yang bersedia menyumbang kepada pembangunan mampan negara serta memberi impak positif kepada komuniti setempat, terutamanya di kawasan Changlun melalui pelaksanaan program dan inisiatif kemasyarakatan yang bersifat lestari.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam; Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Prof. Madya Dr. Nor Idayu Mahat, dan Pengarah Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CETMA), Prof. Madya Dr. Masnita Misiran.- Siti Nazirah Jaya