Campus

Pelajar SOC dekati komuniti melalui Program SULAM Analitik Data Media Sosial di C-Mart Changlun

Berita dan gambar disediakan oleh: Prof. Madya Ts. Dr. Juhaida Abu Bakar

CHANGLUN, 27 Jun 2026: Seramai 22 pelajar kursus STISK3123 Analitik Data Media Sosial dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang diadakan di C-Mart Changlun, Kedah.

Program yang dilaksanakan bagi Semester Kedua Sesi 2025/2026 (A252) ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pembelajaran berasaskan komuniti dengan mengaplikasikan pengetahuan analitik data media sosial dalam situasi sebenar.

Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) ini memberi peluang kepada pelajar menghubungkan teori yang dipelajari di dalam bilik kuliah dengan keperluan sebenar komuniti.

Sepanjang program, para pelajar berinteraksi secara langsung dengan komuniti peniaga dan pengunjung di tapak Carboot Sales C-Mart Changlun melalui aktiviti pemerhatian, temu bual serta pengumpulan data lapangan.

Maklumat yang diperoleh kemudiannya dianalisis menggunakan teknik analitik data media sosial bagi mengenal pasti isu, keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh komuniti setempat sebelum cadangan penambahbaikan dikemukakan.

 

Selain memperkukuh kemahiran teknikal dalam analitik data, program ini turut meningkatkan kemahiran insaniah pelajar seperti komunikasi, kerja berpasukan, pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan pembentangan profesional melalui penglibatan secara langsung bersama masyarakat.

Sepanjang program sehari itu, peserta mengikuti beberapa aktiviti utama termasuk taklimat pengenalan, sesi pemerhatian dan temu bual bersama komuniti, pembentangan hasil analisis serta cadangan penyelesaian oleh setiap kumpulan, diikuti sesi perkongsian maklum balas bersama komuniti. Pendekatan ini membolehkan hasil dapatan pelajar dikongsikan secara terus kepada pihak berkepentingan bagi membantu menambah baik mutu perkhidmatan yang disediakan.

Dekan Pusat Pengajian Pengkomputeran, Prof. Ts. Dr. Osman Ghazali, menzahirkan sokongan penuh terhadap pelaksanaan program SULAM yang menggabungkan pembelajaran akademik dengan penglibatan komuniti. Beliau berkata, program seumpama ini mencerminkan komitmen Pusat Pengajian Pengkomputeran dalam memastikan ilmu, teknologi dan kepakaran yang dimiliki oleh pensyarah serta pelajar dapat dimanfaatkan untuk memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat.

Menurut beliau, kolaborasi strategik bersama komuniti dan industri bukan sahaja memperkukuh pengalaman pembelajaran pelajar, malah meningkatkan peranan pusat pengajian sebagai peneraju dalam penggunaan analitik data dan teknologi digital bagi menyelesaikan isu-isu sebenar yang dihadapi oleh komuniti.

Program tersebut diketuai oleh Encik Mohd. Rushdi Idrus selaku Pengerusi Jawatankuasa SULAM Pusat Pengajian Pengkomputeran, manakala Prof. Madya Ts. Dr. Juhaida Abu Bakar bertindak sebagai pensyarah kursus. Turut hadir ialah Prof. Madya Ts. Dr. Nor Hazlyna Harun, Pengerusi Program Master Pusat Pengajian Pengkomputeran dan Encik Ahmad Abdul Ghani, Pengurus Koperasi Pakar Digital Kedah Berhad (CodeX), yang membantu dalam pelaksanaan program pada hari tersebut.

Wakil pengurusan C-Mart Changlun turut menyambut baik kerjasama yang dijalinkan bersama Universiti Utara Malaysia menerusi program SULAM ini. Menurut beliau, program tersebut merupakan satu inisiatif yang amat baik dalam membantu pihak pengurusan memperoleh perspektif baharu berasaskan data bagi menambah baik mutu perkhidmatan, di samping memperkukuh hubungan dan penglibatan dengan para pengunjung serta penduduk di sekitar C-Mart Changlun.

Dapatan analisis dan cadangan yang dikemukakan oleh pelajar juga dilihat berpotensi menjadi input yang bernilai dalam usaha meningkatkan pengalaman pelanggan dan kualiti perkhidmatan pada masa hadapan.

Salah seorang pelajar, Sarah Nurnabila Shuhaimi (301316), turut berkongsi refleksi mengenai pengalaman beliau menyertai program tersebut.

“Melalui program SULAM ini, saya memperoleh banyak pengetahuan daripada pembentangan kumpulan lain. Walaupun semua kumpulan mengkaji komuniti yang sama berkaitan C-Mart Changlun, seperti vendor, pengunjung, pengurusan C-Mart, namun setiap kumpulan menggunakan pendekatan yang berbeza untuk menganalisis isu yang dikenal pasti.

Saya juga mempelajari bahawa data media sosial boleh dimanfaatkan untuk membantu menyelesaikan masalah komuniti apabila dianalisis menggunakan kaedah yang sesuai. Pengalaman ini membuka perspektif saya bahawa terdapat pelbagai pendekatan dalam analitik data, dan setiap pendekatan mempunyai kelebihan tersendiri. Saya turut memahami bahawa sains data bukan sahaja diaplikasikan di dalam bilik kuliah, malah mampu memberi impak positif kepada masyarakat.”

Program ini turut menyokong aspirasi Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dalam menghubungkan institusi pengajian tinggi dengan masyarakat melalui pembelajaran berimpak tinggi.

Di samping itu, program ini menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti (Quality Education) melalui pelaksanaan pembelajaran berasaskan pengalaman yang mengintegrasikan ilmu akademik dengan penyelesaian isu komuniti.

Penganjuran Program SULAM ini membuktikan komitmen Universiti Utara Malaysia, khususnya Pusat Pengajian Pengkomputeran, dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah mempunyai kepekaan sosial serta berupaya mengaplikasikan kepakaran dalam bidang analitik data dan teknologi digital bagi membantu menyelesaikan isu-isu sebenar yang dihadapi oleh masyarakat.

Program ini turut memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti, industri dan komuniti ke arah pembangunan masyarakat yang lebih lestari, berdaya saing dan berteraskan inovasi.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button