Campus

Dari kampus ke Iindustri: Persediaan awal pelajar BHalal menuju kerjaya

Gambar oleh: Pelajar BHalal

SINTOK, 23 Jun 2026: Program Persediaan ke Industri Pelajar BHalal Kohort A241 Siri 1 telah berlangsung dengan jayanya di DKG 2/7, Universiti Utara Malaysia bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang. Program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Halal (Bhalal) mengenai persediaan memasuki alam industri, khususnya dari aspek penyediaan resume profesional, penulisan e-mel rasmi serta teknik menghadapi temu duga dengan berkesan.

Program dimulakan dengan pendaftaran peserta dan sarapan pagi, diikuti dengan ucapan aluan oleh Pengarah Program, Cik Nurul Shuhada bt Khaliluddin. Seterusnya, majlis diteruskan dengan bacaan doa, ucapan daripada wakil pensyarah BHalal IBS, Dr Hawwa Abdul Mokti, serta sesi fotografi bersama peserta.

Dalam ucapannya, Dr Hawwa Abdul Mokti menekankan bahawa persediaan ke industri bukan hanya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, tetapi turut melibatkan keupayaan pelajar mempersembahkan diri secara profesional melalui resume yang baik dan kemahiran temu duga yang meyakinkan.

Beliau turut mengingatkan bahawa terdapat pelajar yang cemerlang dari sudut akademik, namun gagal melepasi proses temu duga hanya disebabkan kelemahan dalam penyediaan resume serta kurang persediaan ketika menghadapi temu duga.

Menurut beliau, pelajar BHalal perlu melihat program ini sebagai ruang awal untuk membina imej diri, keyakinan dan kesediaan sebelum melangkah ke alam industri sebenar.

“Ada pelajar yang cemerlang dari segi akademik, tetapi masih gagal melepasi temu duga kerana resume tidak disusun dengan baik atau tidak bersedia menjawab soalan dengan yakin. Oleh itu, pelajar BHalal perlu mengambil serius kemahiran ini kerana ia menjadi pintu pertama untuk dinilai oleh pihak industri.” katanya.

Sesi utama program dikendalikan oleh Encik Amirul Muqamin b Mahadzir melalui dua slot perkongsian bertajuk “Get Hired: Penyediaan Resume & E-mel Profesional” dan “Get Hired: Teknik Temu Duga Berkesan”. Perkongsian ini memberi penekanan kepada keperluan pelajar untuk menghasilkan resume yang kemas, ringkas, profesional dan sesuai dengan kehendak industri semasa.

Antara intipati penting yang dikongsikan ialah pelajar digalakkan menyediakan resume menggunakan platform seperti Microsoft Word atau Google Docs serta mengelakkan penggunaan reka bentuk yang terlalu berat seperti Canva sekiranya tidak sesuai dengan sistem saringan majikan. Resume juga perlu mengandungi kata kunci yang berkaitan dengan jawatan dipohon, disusun secara terperinci dan mudah dibaca, selain mengelakkan maklumat yang tidak perlu seperti alamat rumah penuh atau maklumat yang tidak relevan.

Peserta turut didedahkan dengan kepentingan memahami sistem saringan resume atau ATS, penggunaan kaedah STAR iaitu Situation, Task, Action and Result, serta kepentingan menyesuaikan resume mengikut jawatan dan syarikat yang dimohon. Bagi pelajar yang masih berstatus graduan baharu, pengalaman latihan industri, aktiviti berkaitan bidang, kemahiran perisian, pencapaian akademik serta aktiviti kesukarelawanan yang relevan boleh diketengahkan secara strategik.

Dalam sesi temu duga pula, pelajar diingatkan supaya menjaga penampilan, membuat kajian awal tentang latar belakang syarikat, memahami jawatan yang dipohon serta mengawal nada suara dan tempo percakapan. Latihan bersama rakan atau ahli keluarga juga digalakkan bagi meningkatkan keyakinan sebelum menghadiri temu duga sebenar.

Program ini diakhiri dengan sesi soal jawab yang memberi peluang kepada peserta mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan penyediaan resume, e-mel profesional dan persediaan temu duga. Secara keseluruhannya, program ini berjaya memberi panduan praktikal kepada pelajar BHalal Kohort A241 dalam membina keyakinan dan kesediaan sebelum melangkah ke alam industri. – Dr. Hawwa Abdul Mokti

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button