Mahasiswa UUM pamer inovasi di simposium penutup program inspire 2025/2026
Berita dan gambar oleh: Shah Noor Afizah Ahmad
KUALA LUMPUR, 23 Jun 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) menyertai Simposium Penutup Program Innovative Studentpreneurs for Impactful & Resilient Enterprises (INSPIRE) 2025/2026 yang berlangsung di Zecon Hotel, Kuala Lumpur.
Program INSPIRE merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (CESMED), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bertujuan melahirkan usahawan mahasiswa yang inovatif, berdaya tahan dan mampu membangunkan perniagaan mampan dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Program ini turut menyediakan platform kepada pelajar dan usahawan muda untuk mengembangkan idea perniagaan, meningkatkan kemahiran keusahawanan serta meneroka peluang pasaran yang berpotensi.
Program INSPIRE 2025/2026 yang berlangsung dari November 2025 hingga Jun 2026 telah dilaksanakan melalui empat fasa utama iaitu pencarian peserta, Bootcamp Keusahawanan, latihan dan bimbingan serta simposium penutup.
Sepanjang program, peserta dibimbing dalam aspek pembangunan inovasi, model perniagaan dan strategi pemasaran bagi meningkatkan daya saing perniagaan masing-masing.
Kemuncak program pada 23 Jun 2026 menyaksikan para peserta menyertai sesi pitching, pameran produk dan pembentangan poster yang dinilai oleh panel profesional daripada pelbagai bidang.
Platform ini memberi peluang kepada peserta untuk mengetengahkan idea perniagaan, menerima maklum balas daripada pakar industri serta memperluaskan jaringan kerjasama strategik.
UUM telah diwakili oleh empat orang pelajar iaitu Syarifah Majdina binti Syed Ismail, Nur Syuhada Thahira binti Mohamad Tahir, Alyaa Farihah binti Shamsudin dan Nuhananee binti Yuszini.
Para peserta telah dibimbing oleh mentor UUM, Prof. Madya Dr. Muhamad Ali Imran bin Kamarudin dalam pembangunan idea inovasi, model perniagaan dan strategi pengkomersialan produk yang berpotensi untuk dipasarkan.
Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Encik Hazlan bin Abdul Hamid, Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan inovasi dan daya tahan dalam kalangan usahawan mahasiswa agar mereka bukan sahaja menjadi pencari pekerjaan, malah berupaya menjadi pencipta peluang pekerjaan (job creators) yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Penyertaan UUM dalam Program INSPIRE 2025/2026 mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkasa budaya keusahawanan mahasiswa serta melahirkan graduan yang berdaya saing, inovatif dan berupaya menjadi pencipta peluang pekerjaan yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.



