Program langkah baharu, harapan bersama beri impak positif kepada Pelatih Pusat Pemulihan
Berita dan gambar : Pelajar kursus SSWAK3717 (A) Kerja Sosial dan Penyalahgunaan Bahan
POKOK SENA, 15 Mei 2026 : Seramai 13 orang pelajar kursus SSWAK3717 (A) Kerja Sosial dan Penyalahgunaan Bahan daripada Pusat Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjayakan Program Langkah Baharu, Harapan Bersama di Pusat Pemulihan Dadah Mawaddah War Rahmah Empire pada Jumaat, 15 Mei 2026.
Program yang dianjurkan di bawah bimbingan Dr. Nurhazlina Binti Mohd Ariffin itu melibatkan seramai 26 orang pelatih pusat pemulihan dadah sebagai peserta. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komponen pembelajaran kursus yang memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan, nilai profesional, teori, model serta kemahiran kerja sosial secara praktikal dalam konteks intervensi penyalahgunaan bahan bersama klien di lapangan.

Program tersebut bertujuan meningkatkan kefahaman pelajar terhadap realiti isu penyalahgunaan bahan serta memperkukuhkan kemahiran mereka dalam berinteraksi dengan klien yang sedang menjalani proses pemulihan.
Pada masa yang sama, program ini turut memberi manfaat kepada para pelatih melalui aktiviti yang dirancang bagi membantu mereka membina semula harapan, meningkatkan motivasi diri dan merancang kehidupan yang lebih positif pada masa hadapan.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti berbentuk interaktif, refleksi kendiri dan pembangunan motivasi telah dijalankan. Aktiviti-aktiviti tersebut memberi ruang kepada pelatih untuk berkongsi pengalaman, mengenal pasti kekuatan diri serta membina keyakinan untuk meneruskan proses pemulihan dengan lebih berkesan.

Selain itu, para pelajar turut berpeluang mempraktikkan kemahiran komunikasi, empati dan intervensi sosial yang dipelajari di dalam bilik kuliah dalam suasana sebenar.
Salah seorang peserta program menyifatkan aktiviti yang dijalankan sebagai pengalaman pembelajaran yang signifikan dalam memahami realiti lapangan kerja sosial.
“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada kami untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari di dalam bilik kuliah, malah membantu kami memahami dengan lebih mendalam cabaran, harapan dan kekuatan yang dimiliki oleh klien dalam proses pemulihan mereka.” kataya.

Menurut peserta tersebut, pengalaman berinteraksi secara langsung dengan para pelatih pusat pemulihan telah membuka perspektif baharu tentang kepentingan sokongan sosial dan peranan pekerja sosial dalam membantu individu yang berhadapan dengan cabaran penyalahgunaan bahan untuk kembali menjalani kehidupan yang lebih bermakna.
Program Langkah Baharu, Harapan Bersama berakhir pada jam 1.00 petang bagi memberi laluan kepada Solat Jumaat. Pihak pengurusan pusat pemulihan turut merakamkan penghargaan atas komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan oleh para pelajar serta pensyarah dalam menjayakan program tersebut.

Mereka berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam menyokong proses pemulihan klien dan memperkukuhkan jaringan kerjasama antara institusi pendidikan dengan organisasi yang terlibat dalam perkhidmatan pemulihan.
Program ini secara tidak langsung membuktikan bahawa penglibatan pelajar dalam aktiviti berasaskan komuniti mampu memberikan impak positif kepada pembangunan profesional pelajar serta kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.



