Majlis pelancaran program Nakhoda Aspirasi dan Kecemerlangan Bakat (NAQIB) UUM 2026
Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 28 Jun 2026: Program Nakhoda Aspirasi dan Kecemerlangan Bakat (NAQIB) merupakan satu inisiatif pembangunan bakat strategik Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dirangka bagi memperkukuhkan budaya bimbingan, perkongsian serta pembangunan profesional dalam kalangan warga UUM.
Program NAQIB UUM 2026 bertujuan memperkukuh pembangunan staf Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) melalui pendekatan pementoran berstruktur, sekali gus melahirkan warga kerja yang kompeten, berintegriti dan berdaya saing selaras dengan aspirasi universiti.

Dalam ucapan perasmian, Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, menegaskan bahawa staf P&P merupakan tonggak utama universiti yang berperanan sebagai penggerak dasar, perancang strategik serta pelaksana utama dalam memastikan kelancaran pentadbiran universiti.
Beliau berkata, Program NAQIB diperkenalkan bagi membimbing warga baharu universiti agar memahami serta menghayati dasar dan budaya kerja UUM melalui bimbingan mentor yang berpengalaman dan berautoriti.
Menurut beliau, pembangunan modal insan tidak hanya bergantung kepada kecerdasan intelektual (IQ), malah perlu diseimbangkan dengan kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan spiritual (SQ) bagi melahirkan pentadbir yang holistik, berwibawa dan beretika.

Beliau turut menekankan bahawa konsep pementoran dalam Program NAQIB bukan sekadar melibatkan transfer of knowledge (pemindahan ilmu), tetapi juga transfer of character (pemindahan sahsiah) bagi membentuk nilai integriti, profesionalisme, etika kerja dan kepimpinan yang berkesan.
Di samping itu, beliau mengingatkan agar setiap warga UUM mengamalkan budaya kerja yang proaktif, responsif serta semangat keserakanan (collegiality) dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelajar dan seluruh warga universiti.

Melalui pendekatan berteraskan falsafah Ilmu, Budi dan Bakti, Program NAQIB diharap dapat membentuk ekosistem kerja yang lebih kolaboratif, menyokong budaya perkongsian ilmu serta memperkukuh pembangunan kompetensi warga UUM.
Majlis turut menyaksikan Prof. Martadha Mohamed menyempurnakan pelancaran rasmi Program Nakhoda Aspirasi dan Kecemerlangan Bakat (NAQIB) UUM 2026 serta menyampaikan surat pelantikan kepada fasilitator NAQIB, mentor dan menti sebagai simbol pengiktirafan universiti terhadap peranan mereka dalam membimbing, membangunkan kompetensi serta menyemai budaya kerja profesional dalam kalangan warga UUM. – Noor Zafiera Ahmad Idris



