UUM, MBI Selangor teroka peluang kolaborasi industri dan pembangunan bakat, pacu inisiatif berimpak tinggi
Berita dan gambar oleh: Dr. Nuramalina Mohamad Na’in
SHAH ALAM, 22 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) terus memperkukuh jaringan kolaborasi strategik apabila mengadakan sesi perbincangan bersama Menteri Besar Incorporated Selangor (MBI Selangor, menerusi siri jelajah kunjung hormat ke rakan strategik industri.
UUM yang diketuai oleh Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) turut membawa agenda bagi memberi tumpuan kepada potensi kolaborasi melibatkan penyelidikan, pembangunan modal insan, inovasi, keusahawanan, pemindahan ilmu serta pembangunan komuniti yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Kunjungan singkat UUM ini disambut mesra Yang Berbahagia Dato’ Haji Ts. Saipolyazan bin Mat Yusop, Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, yang juga merupakan Ahli Majlis Penasihatan Universiti-Industri (MPUI) UUM.
Selain itu kunjungan ini turut memberi fokus kepada memperkukuh hubungan antara UUM dan MBI Selangor serta mengenal pasti peluang kolaborasi dalam bidang pembangunan bakat dan peluang kerjasama yang dapat membuka peluang pekerjaan kepada graduan lepasan UUM. Turut dibincangkan antaranya cadangan untuk membuka ruang kepada pelajar tahun akhir UUM menjalani latihan industri di anak-anak syarikat di bawah MBI Selangor, sekali gus memberi peluang kepada pelajar untuk memperoleh pengalaman sebenar dalam persekitaran industri.

CUIC selaku pusat tanggungjawab yang menghubungkan UUM dan industri turut membincangkan potensi jaringan kerjasama antara MBI Selangor bersama Career Development and Graduate Employability Centre (CDGEC) UUM dalam memperluaskan peluang pekerjaan kepada graduan baharu UUM, selaras dengan usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan. Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan berkaitan peluang penempatan pelajar yang akan menjalani latihan industri terutamanya dalam bidang pengurusan kewangan dan pengurusan strategik.
“UUM sentiasa komited untuk menjalinkan sinergi strategik bersama pihak industri dan agensi kerajaan bagi memperkasa agenda pembangunan negara khususnya dalam aspek pendidikan, penyelidikan dan pembangunan komuniti,” ujar Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC).
Sementara itu, Dato’ Ts. Saipolyazan berkata, pihaknya melihat UUM sebagai rakan strategik yang berpotensi dalam menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan negeri melalui kepakaran akademik dan penyelidikan yang dimiliki universiti tersebut.

Kerjasama strategik ini dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara akademia dan industri sekali gus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi yang mampan.
Kunjungan ini mengukuhkan kedudukan UUM sebagai rakan strategik kepada agensi negeri dalam memacu inisiatif berimpak tinggi yang berteraskan inovasi dan pembangunan modal insan yang mampan dan berimpak tinggi.
Sesi kunjungan turut disertai oleh Dr. Nuramalina binti Mohamad Na’in, Penyelaras Latihan Industri UUMCAS, manakala pihak MBI Selangor disertai oleh Puan Azuwadaniseh Zain, General Manager, Talent Management and Performance, MBI Selangor.



