Campus

UUM sokong pendidikan inklusif dan tingkat kesedaran tentang autisme

Gambar SoE dan SLCP

SINTOK, 4 Mei 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh komitmennya dalam menyokong pendidikan inklusif dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap autisme menerusi penganjuran program bertemakan “Universiti dan Komuniti: Memperkasa Kesedaran Autisme secara Inklusif” sempena Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia 2025 yang diadakan di Auditorium Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), UUM.

Program anjuran Pusat Pengajian Pendidikan (SoE), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), serta Pusat Kajian Kes Pengurusan dan Kepimpinan (PKKPK) itu diadakan bagi memperingati Hari Pendidikan Kesedaran Autisme 2025, dengan matlamat utama memupuk penerimaan dan kefahaman masyarakat terhadap individu dalam spektrum autisme.

Ucapan perasmian telah disampaikan oleh Penolong Naib Canselor (PNC) UUM CAS, Prof. Dr. Osman Ghazali di mana beliau menegaskan bahawa program seperti ini memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang lebih prihatin dan inklusif terhadap komuniti autisme.

“Seperti yang kita sedia maklum, April merupakan Bulan Kesedaran Autisme Sedunia. Maka, penganjuran program dan webinar pada hari ini amat bertepatan masanya.

“Ia bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman dalam kalangan guru, ibu bapa serta masyarakat umum mengenai autisme, sejajar dengan tema program hari ini, ‘Universiti dan Komuniti: Memperkasa Kesedaran Autisme secara Inklusif’,” katanya.

Program ini turut mendapat sokongan dan penglibatan daripada pelbagai agensi luar seperti Hospital Sultanah Bahiyah, Institut Aminuddin Baki, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan Perlis, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Setar dan Kubang Pasu, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Darulaman dan Perlis, kumpulan ibu bapa serta badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan kanak-kanak autisme.

Sementara itu, Pengarah Program, Dr. Nazmin Abdullah berkata, inisiatif ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara UUM dan pihak berkepentingan, malah turut memperluas impak sosial universiti dalam membantu golongan autisme.

“Program ini seiring dengan strategi UUM untuk memperkukuh penglibatan industri dan komuniti dalam pembangunan akademik serta pemerkasaan sosial yang lebih inklusif,” katanya.

Penganjuran ini juga menyumbang kepada peningkatan aktiviti bukan penyelidikan yang dijalankan di bawah kerangka perjanjian atau memorandum persefahaman (LoI/MoA) antara universiti dan rakan kolaboratifnya.

Sambutan yang diterima amat memberangsangkan dengan kehadiran seramai 210 peserta secara bersemuka dan lebih 11,000 tontonan secara langsung dan ulangan di laman Facebook rasmi UUM.

Rakaman penuh program boleh ditonton melalui pautan berikut:
•Slot 1: https://www.facebook.com/share/v/16GYXiuACq/?mibextid=wwXIfr
•Slot 2: https://www.facebook.com/share/v/1ECumZZ2si/?mibextid=wwXIfr

Disediakan Dr. Nazmin Abdullah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button