Education

Erasmus+ pupuk kerjasama antarabangsa

Sintok, 22 Ogos – Universiti Utara Malaysia (UUM) amat komited terhadap proses pengantarabangsaan dan melihatnya sebagai pemacu inovasi dan kecemerlangan dalam pendidikan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UUM, Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, pihaknya amat menggalakkan lebih ramai kakitangan akademik untuk merebut peluang dalam program pertukaran, penyelidikan kolaboratif dan perkongsian antarabangsa.

“Universiti berhasrat untuk melihat peningkatan dalam bilangan kakitangan yang mengambil bahagian dalam program pertukaran di luar negara. Pengalaman sebegini membawa kembali perspektif baharu dan idea inovatif yang boleh memberi manfaat besar kepada komuniti universiti.

“Pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh melalui penyertaan dalam program ini akan dapat meneroka peluang dalam pertukaran pensyarah untuk tujuan pengajaran, latihan untuk staf pentadbiran dan kerjasama penyelidikan bersama institusi dari negara Eropah,” katanya.

Ujarnya, inisiatif meningkatkan kerjasama antarabangsa ini juga membolehkan UUM menjalin hubungan yang lebih mendalam dengan institusi terkemuka di seluruh dunia. Perkongsian ini penting dalam mewujudkan persekitaran akademik yang dinamik.

“Bergerak seiringan, kita boleh menangani cabaran global, menjalankan penyelidikan yang berkesan dan menyediakan pelajar pendidikan bertaraf dunia agar cemerlang dalam dunia global,” ucapnya pada Erasmus+ Research, Academic, and Mobility Seminar (RAMS), berlangsung di Dewan Seminar A, kelmarin.

Tambahnya, kerjasama global di bawah Erasmus+ selaras dengan visi UUM untuk menjadi institusi antarabangsa terkemuka yang menyampaikan pengetahuan dan menyumbang kepada penyelesaian cabaran global.

“Kita mesti merebut peluang yang disediakan oleh Erasmus+ dengan memastikan staf dan pelajar bersedia untuk mengambil bahagian dan menyumbang kepada komuniti akademik global,” katanya.

Menurut UNESCO, kerjasama antarabangsa dalam pendidikan tinggi telah meningkat sebanyak 40% sepanjang dekad yang lalu sekali gus menunjukkan kepentingan perkongsian global semakin meningkat dalam memajukan pendidikan.

“Kakitangan akademik, bukan sahaja berperanan menyampaikan ilmu pengetahuan di kelas bahkan meluas dalam kerjasama penyelidikan, pembangunan peribadi dan profesional yang berterusan.

“Dengan mengambil bahagian dalam inisiatif global seperti Erasmus+, peserta didedahkan dengan pelbagai perspektif, amalan inovatif dan penyelidikan canggih yang boleh meningkatkan prestasi kerja selain membina rangkaian,” katanya pada program anjuran Pusat Hal Ehwal Antarabangsa dan Kerjasama (CIAC), Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UUM bersama Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia dan Erasmus+ National Focal Point, Malaysia.

Seminar itu menampilkan penceramah seperti, Pegawai Politik, Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia, Eero Oinonen, Erasmus+ National Focal Point, Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd Ariffin Abu Hassan dan Prof. Dr. Nordin Yahaya, Vice-President of the Global Education: Exchanges for Engineers and Entrepreneurs (Ge4) Network.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button