Dua pelajar IBS UUM sertai program mobiliti antarabangsa di Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jun 2026: Dua pelajar daripada Islamic Business School (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM), iaitu Muhammad Zairul Haqimi Sapak dan Afiq Wajdi bin Shuhaimi, telah mewakili universiti dalam Program Mobiliti Pelajar Antarabangsa yang berlangsung di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei Darussalam, dari 1 hingga 7 Jun 2026.

Program tersebut menghimpunkan peserta daripada beberapa institusi pengajian tinggi serantau dan bertujuan memperkukuh jaringan akademik, pertukaran ilmu serta kerjasama antarabangsa.
Sepanjang program berlangsung, kedua-dua pelajar telah membentangkan hasil penyelidikan mereka dalam Mini Kolokium Antarabangsa serta menyertai pelbagai sesi akademik dan perkongsian ilmu.

Selain itu, peserta turut mengikuti lawatan pendidikan ke beberapa institusi penting di Brunei Darussalam seperti Mahkamah Syariah Brunei, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Kampong Ayer, di samping terlibat dalam aktiviti khidmat komuniti yang memberikan pendedahan kepada aspek sosial dan budaya negara tersebut.
Penyertaan ini bukan sahaja meningkatkan pengalaman akademik dan kemahiran komunikasi antarabangsa, malah memperkukuh jaringan kerjasama antara UUM dengan institusi pengajian tinggi di peringkat serantau.



