ICIMSC, SCIMPA Perkasa Kreativiti Murid Melalui Program ‘Young Authors for A Living Planet’
Berita dan gambar oleh: Dr Asmidah Alwi
KULIM, 26 – 27 April 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) melalui Institute of Creative Industry Management and Sustainable Culture (ICIMSC), terus komited dalam memperkasakan komuniti setempat melalui penganjuran Young Authors For A Living Planet.
Program yang berlangsung selama dua hari, di Sekolah Kebangsaan Tunku Abdul Malik, Kulim dengan penglibatan aktif seramai 36 orang murid dan empat orang guru pembimbing.

Program ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara ICIMSC bersama World Wildlife Fund (WWF). Kerjasama ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada generasi muda mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar melalui pendekatan penulisan kreatif.
Menerusi bengkel intensif ini, para peserta dibimbing oleh pakar daripada ICIMSC iaitu Dr Asmidah Alwi dan Encik Mohd Fairuz Mhd Padoli berkaitan proses penulisan dan penerbitan buku cerita kanak-kanak.
Menurut Dr Asmidah Alwi, Pengarah ICIMSC yang juga bertindak sebagai fasilitator program tersebut, pengisian program ini memberi penekanan khusus kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), terutamanya SDG 13 (Tindakan Iklim) yang mendedahkan pelajar kepada isu alam sekitar yang kritikal serta SDG 14 (Kehidupan di Bawah Air) bagi memupuk kesedaran tentang perlindungan biodiversiti dan ekosistem laut.

Sepanjang dua hari, murid-murid didedahkan dengan pelbagai slot menarik bermula daripada asas penceritaan (Story Basics), percambahan idea, lakaran ilustrasi, sehinggalah kepada proses kompilasi karya akhir mereka sendiri.
Penglibatan felo ICIMSC dalam program ini bukan sekadar perkongsian akademik, malah ia merupakan satu inisiatif Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) dan Pemindahan Pengetahuan (KTP) yang berimpak tinggi.

Antara impak utama yang disasarkan melalui program ini termasuklah menyokong pembentukan sahsiah murid yang bertanggungjawab dalam melindungi kelestarian ekosistem darat dan laut, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru serta murid dalam teknik penulisan kreatif yang boleh diaplikasikan dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di sekolah serta penghasilan karya kreatif kanak-kanak hasil nukilan peserta sendiri sebagai bukti keberkesanan bengkel yang dijalankan.
Melalui inisiatif ini, ICIMSC dan SCIMPA berharap dapat terus memperluaskan jaringan kerjasama dengan pihak industri dan komuniti luar, sekaligus membuktikan peranan universiti dalam membawa perubahan positif kepada masyarakat melalui seni dan kreativiti.



