Krisis adik beradik, beralahlah demi mak ayah
SINTOK, 4 Mac 2025: Sempena Ramadan, menjernihkan hubungan keluarga, termasuk menyelesaikan pergaduhan antara adik-beradik, amat dianjurkan. Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh berkah, di mana umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan ibadah, berbuat baik, serta menjaga hubungan sesama manusia.
Ada di antara kita yang berdepan krisis adik beradik, namun tidak mengambil jalan untuk menyelesaikan pergaduhan sehingga merenggangkan hubungan termasuk tidak mahu bersua muka, tidak mahu balik kampung dan hilang kasih sesama saudara yang dulunya tidur sebantal, minum secawan bersama-sama.
Bila lihat anak-anak bergaduh sama ada, adik dengan abang, atau kakak dengan adik, pasti mak ayah sedih, terluka dan lebih perit mereka menderita di usia tua sehingga membawa kepada sakit yang berpanjangan.
Kita nak mak ayah bahagia dengan kita, walaupun mak senyap tapi jauh di sudut hati dia susah hati tambah pula masing-masing tunjuk ego, sombong, angkuhnya kita! Dia lahirkan kita mesti sedih bila lihat anak-anak bergaduh sekali pun di belakangnya. Mak ada deria rasa yang kuat.
Profesor, Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Prof. Dr. Noor Azniza Ishak berkata, menyelesaikan pergaduhan antara adik-beradik memerlukan kesabaran dan pendekatan yang adil, jitu dan saksama.
“Biasanya selepas bergaduh masing-masing jarang jumpa malah cuba elak dari berjumpa, bagaimana boleh sembang dengan jelas perkara yang menjadi punca pergaduhan, jadi banyak sangkaan dan andaian yang akan memburukkan lagi keadaan.
“Bila bergaduh kita tidak sempat cerita yang betul, lebih emosi, mudah bersangka buruk menyebabkan tidak ada yang sahih, jadi jom dapatkan benda yang sahih dengan berjumpa.
“Dua-dua pihak kena bertemu untuk selesaikan pergaduhan, ajak jumpa dalam keadaan santai dengan syarat jangan gaduh atau marah-marah.
“Di sinilah pentingnya orang tengah untuk mendengar pandangan dan perasaan setiap seorang tanpa membuat sebarang penilaian awal. Sebagai orang yang menguruskan pergaduhan, perlu adil dan tidak berpihak kepada mana-mana. Jangan berat sebelah dalam menyelesaikan masalah kerana itu boleh menyebabkan ketegangan lebih teruk,” ujarnya.
Jelasnya, kita perlu fokus pada masalah sebenar. Sering kali pergaduhan terjadi kerana salah faham atau isu yang kecil. Cuba cari punca sebenar masalah dan elakkan daripada membincangkan perkara remeh. Pastikan kedua-dua pihak tenang terlebih dahulu. Jika sedang marah, beri masa untuk mereka bertenang.
“Kita boleh menggalakkan komunikasi terbuka dan jujur. Gunakan Ramadan untuk meningkatkan hubungan persaudaraan. Luangkan masa bersama, bercakap dengan baik, berbincang dengan penuh hormat dan kasih sayang. Elakkan daripada menggunakan kata-kata kasar atau menyalahkan satu sama lain.
“Ajak mereka berdua untuk mencadangkan penyelesaian bersama. Ini memberi mereka rasa dihargai dan boleh membantu menyelesaikan masalah dengan cara yang lebih baik. Kadang-kadang, memberi sedikit ruang untuk mereka berfikir dan merenung sendiri boleh membantu. Ini memberi mereka masa untuk menenangkan perasaan dan melihat keadaan dari perspektif yang berbeza.
“Sementara mak ayah masih ada beralahlah demi mereka, kita mahu hidup dalam kasih sayang, jangan biarkan ego menghalang keharmonian dalam keluarga. Adik beradik kita bukan ramai, Lama mana nak bergaduh macam ini? kalau ada asas iman mereka akan dengar,” katanya.
Ramadan adalah bulan pengampunan. Ajak adik-beradik untuk saling memaafkan dan melupakan kesalahan lalu. Bermaafan dapat menyucikan hati dan membawa kedamaian dalam keluarga.
Fokus pada kasih sayang dan kebersamaan. Ramadan mengajar kita untuk menghargai waktu bersama keluarga. Gunakan peluang berbuka puasa bersama-sama untuk menyatukan hati. Aktiviti ini memberi ruang untuk berbincang dengan tenang dan mengeratkan hubungan.
Amalkan sikap sabar dan rendah hati. Berpuasa mengajar kita untuk bersabar. Jadikan Ramadan sebagai peluang untuk mengembangkan kesabaran dalam menghadapi masalah. Bersikap rendah hati dan berlapang dada dalam menyelesaikan perbezaan pendapat antara adik-beradik.
Jangan lupa untuk berdoa bersama-sama agar hubungan keluarga semakin erat dan diberkati. Dalam bulan Ramadan, doa kita lebih diterima, jadi berdoalah agar pergaduhan tersebut dapat diselesaikan dengan cara yang baik dan penuh kasih sayang.
Dengan niat yang tulus dan semangat Ramadan, hubungan adik-beradik boleh dipulihkan dan diperkukuhkan, sekali gus mempereratkan lagi silaturahim dalam keluarga.
Jika pergaduhan berlarutan dan susah untuk diselesaikan, mungkin boleh mempertimbangkan untuk mendapatkan bantuan daripada seorang kaunselor keluarga.