Education

Lebih 100 peserta meriahkan Bengkel Tarian Istana: Rentak Seri

Gambar Nishotha Sholan

SINTOK, 22 April 2026: Program Bengkel Tarian Istana: Rentak Seri yang berlangsung di Dewan Serbaguna SAC, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menghimpunkan lebih 100 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan, badan kebudayaan serta individu perseorangan dari seluruh Zon Utara.

Program anjuran Pusat Budaya dan Seni UUM dengan kerjasama Kelab Bidasari ini merupakan satu inisiatif berimpak tinggi dalam usaha memartabatkan seni warisan Melayu, khususnya tarian istana seperti Joget Gamelan: Topeng selaras dengan usaha memperkukuhkan pemeliharaan seni tradisi dalam kalangan generasi muda serta komuniti.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian sijil penyertaan telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Budaya dan Seni, Dr. Mohd Azhar Abu Bakar @ Dr. Azmeer.

Dalam ucapannya menegaskan bahawa usaha memperkasakan seni budaya perlu diteruskan secara konsisten melalui program pendidikan, latihan dan penglibatan komuniti.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Sepanjang program yang berlangsung para peserta telah mengikuti pengisian yang merangkumi pengenalan sejarah dan falsafah tarian istana, teknik asas dan lanjutan pergerakan, koordinasi tubuh, penggunaan prop seperti kipas serta elemen ekspresi dalam persembahan.

Pendekatan latihan yang bersifat praktikal dan interaktif telah memberi peluang kepada peserta untuk memahami kehalusan seni tarian istana secara lebih mendalam.

Bengkel ini dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman, Mohd Zulkarnain Zubir dan Wong Shan Tie daripada Ask Dance Company yang terkenal dalam bidang seni tari tradisional dan kontemporari.

Mereka telah berkongsi ilmu serta pengalaman profesional dalam membimbing peserta agar dapat menguasai teknik dengan lebih berkesan, di samping menekankan aspek disiplin, estetika dan nilai budaya dalam setiap gerakan.

Kehadiran peserta daripada pelbagai latar belakang seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), sekolah, institusi pengajian tinggi serta komuniti setempat jelas menunjukkan minat dan komitmen tinggi terhadap pemeliharaan seni budaya warisan. Program ini juga berfungsi sebagai platform jaringan sosial dan kolaborasi antara peserta serta organisasi yang terlibat.

Secara keseluruhannya, Bengkel Tarian Istana: Rentak Seri telah mencapai objektifnya sebagai platform pembelajaran, pemerkasaan bakat serta pemeliharaan seni budaya tradisional.

Kejayaan program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada penganjuran lebih banyak program seumpamanya pada masa hadapan demi memastikan kesinambungan warisan seni budaya negara terus terpelihara. – Zunaida Bahadur

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button