Education

SKTU perkukuh jaringan akademik dan pemupukan budaya

Sintok, 18 Februari 2025: Seramai 80 peserta menyertai Program INASIS Proton Universiti Utara Malaysia International Inbound Mobility: Sinergi Kelestarian Tiga Universiti (SKTU) 2025.

Mereka terdiri daripada pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Muhammadiyah Yogyakarta (UMY) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Program yang berlangsung dari 15 hingga 28 Februari ini bertujuan memperkukuh kerjasama akademik, meningkatkan keterlibatan antarabangsa, serta memupuk kefahaman budaya dalam kalangan mahasiswa dari Malaysia dan Indonesia.

Sebagai tanda aras dalam program mobiliti akademik antarabangsa, fasa pertama yang berlangsung di UUM dan Kampung Kodiang Lama memberi tumpuan kepada eksplorasi akademik, integrasi budaya, serta khidmat masyarakat.

Melalui sesi orientasi dan lawatan kampus, peserta didedahkan kepada sistem pembelajaran di UUM serta kemudahan infrastruktur yang disediakan, termasuk kunjungan ke Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Anjung Tamu, U-Assist, Muzium UUM, dan Perpustakaan Sultanah Bahiyah.

Program ini turut menyediakan platform wacana intelektual di Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan menerusi sesi ‘Debates Training’ dan ‘Round Table Discussion’ bertemakan Wacana Lestari, Inspirasi Untuk Masa Depan.

Inisiatif ini membolehkan peserta berkongsi perspektif akademik mengenai isu kelestarian dalam pendidikan dan inovasi. Malam kebudayaan yang akan berlangsung turut menjadi salah satu acara utama yang menyaksikan pertukaran warisan budaya antara peserta dari kedua-dua negara.

Seiring dengan aspirasi universiti dalam membentuk mahasiswa yang berdaya saing dan dekat dengan masyarakat, program ini turut menjayakan aktiviti khidmat komuniti di Kampung Kodiang Lama.

Fasa kedua di USM merangkumi sesi diskusi mengenai keusahawanan siswa. Peserta juga akan menyertai program kesukarelawanan bersama Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dan St. Nicholas’s Home for the Blind, diikuti lawatan warisan ke Georgetown.

Penolong Pengetua INASIS Proton, Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid berkata, program SKTU 2025 diharapkan dapat memberikan nilai tambah yang signifikan dalam membentuk mahasiswa yang lebih bersifat global, berdaya saing, serta memiliki kesedaran sosial yang tinggi.

“Kolaborasi akademik antara tiga universiti ini bukan sahaja membuka ruang kepada pertukaran ilmu dan kepakaran, tetapi juga memperkukuh jaringan antarabangsa dalam bidang pendidikan tinggi, selari dengan matlamat pembangunan akademik yang berdaya tahan dan lestari,” katanya.

Dengan pelbagai aktiviti akademik, budaya, dan kemasyarakatan, SKTU 2025 dijangka menjadi satu landasan penting dalam mengukuhkan hubungan strategik antara institusi pendidikan tinggi di Malaysia dan Indonesia serta membentuk generasi mahasiswa yang berfikiran global.- Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button