Education

UUM perkukuh peranan sebagai pusat kecemerlangan ilmu pentadbiran awam

Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 13 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Pengajian Kerajaan (SoG) komited memperkukuh peranan sebagai pusat kecemerlangan ilmu dalam bidang pentadbiran awam dan pembangunan negara.

Dekan SoG, Prof. Dr. Halimah Abdul Manaf berkata, universiti pada hari ini bukan lagi berperanan sebagai gedung ilmu semata-mata tetapi perlu menyumbang kepada kemajuan negara dengan menjadi pemangkin kepada perubahan dasar dan amalan pentadbiran.

“Peranan universiti kini melangkaui fungsi tradisional sebagai pusat penyampaian ilmu. Institusi ini harus tampil sebagai rakan strategik negara dalam memacu pembaharuan dasar serta memperkasa tadbir urus yang lebih berkesan,” jelasnya.

Prof. Dr. Halimah ketika demikian ketika berucap mewakili Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, sempena penganjuran “Symposium on Public and Development Management” (SPDM) 2026 di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen UUM hari ini.

Simposium tahun ini mengetengahkan tema “Transforming Public Governance for Sustainable and Inclusive Development” dengan menghimpunkan ahli akademik, pengamal sektor awam, pembentang kertas kerja serta mahasiswa bagi membincangkan isu tadbir urus awam dan pembangunan mampan negara.

Tema ini dilihat sangat relevan dengan landskap semasa yang menyaksikan dunia berdepan pelbagai cabaran kompleks seperti ketidaktentuan ekonomi global, perubahan teknologi pesat serta keperluan memastikan pembangunan lebih inklusif dan mampan.

Justeru, platform seperti SPDM 2026 mampu menggalakkan pertukaran idea dan pandangan ilmiah, mengukuhkan jaringan kerjasama antara akademia dan pengamal industri serta menjana solusi inovatif bagi memperkukuh sistem tadbir urus awam.

Simposium kali ini dirasmikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Negeri Pahang merangkap Profesor Adjung SoG, Datuk Seri Zulkifli Yaacob yang berkongsi pelbagai pengalaman berkaitan pentadbiran awam dengan mahasiswa dan peserta SPDM 2026 menerusi sesi soal jawab.

Beliau berkata, mahasiswa perlu memanfaatkan peluang sepanjang berada di universiti dengan sebaik-baiknya kerana mereka adalah generasi yang akan meneruskan perjuangan memajukan lagi negara ini.

Mahasiswa pada hari ini menurutnya, sangat bertuah kerana mempunyai segala kemudahan dan boleh menggunakan kesempatan sepanjang tempoh pengajian bagi membangunkan potensi diri bagi menimba ilmu dan memanfaatkannya apabila tamat pengajian kelak.

Pelajar universiti adalah modal insan masa hadapan yang tidak hanya menguasai kecemerlangan akademik tetapi mempunyai kualiti-kualiti lain yang boleh dibentuk ketika tempoh pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button