GeneralIn Campus

Pastikan kecil-kecil cili api bawa pulang pingat emas

Oleh Nordiana Shafiee

Gambar oleh Muhammad Shamsul Shafie

UUM ONLINE: Biarpun Universiti Utara Malaysia (UUM) hanya menghantar kontinjen kecil ke Kejohanan Sukan Staf Universiti Awam Malaysia (SUKUM), diharapkan kecil-kecil cili api ini mampu membawa pulang pingat emas.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan mengucapkan selamat berjuang kepada duta-duta UUM yang akan membawa bendera UUM ke SUKUM pada 8 hingga 17 Ogos ini di Sabah.

Menurutnya, walaupun UUM menghantar kontinjen kecil dengan penyertaan lima acara sahaja, namun beliau berharap kontinjen universiti akan membawa pulang pingat emas menerusi acara futsal, badminton, tenis, olahraga dan golf.

“Saya berharap kita dapat berjuang dengan semangat kesukanan dan penuh iltizam yang tinggi untuk menggapai pingat emas.

“Di samping mengekalkan momentum dari kejohanan yang lepas akan dapat memantapkan lagi persediaan pasukan dan memberi keyakinan yang tinggi kepada pemain,” katanya pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Kejohanan Staf antara Universiti Malaysia (SUKUM), Pelancaran OSH Week 2024 dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan Ke-67 Peringkat Universiti Utara Malaysia di Foyer Canselori Sultan Sallehuddin, petang ini.

Pada masa sama, beliau turut melancarkan OSH Week, di mana program ini merupakan acara tahunan disambut di seluruh Malaysia yang lazimnya diadakan pada minggu kedua Julai.

Beliau berkata, sambutan OSH Week menyasarkan promosi pembentukan dan pemeliharaan budaya kerja selamat dan sihat dalam kalangan majikan, pekerja serta orang awam.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan pada bulan Ogos, Dr. Mohd Foad telah melancarkan Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-67 Peringkat UUM yang mengangkat tema “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka”.

“Saya menyeru agar kita semua dapat menggunakan platform program dan aktiviti yang bakal dianjurkan sebagai wadah bagi kita menanam tekad serta komitmen untuk mengeratkan silaturahim sesama kita warga UUM bagi mewujudkan semangat perpaduan yang tinggi dan sentiasa bersatu padu dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab.

“Sesungguhnya, kemerdekaan ini amat besar nilai dan ertinya. Kemerdekaan adalah lambang kebebasan, kedaulatan dan kejayaan, bukan sahaja kepada negara yang tercinta ini, tetapi juga kepada setiap daripada kita, warganegara yang setia dan bernaung di bawahnya,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian lagu patriotik dan deklamasi sajak oleh staf dan pelajar UUM serta kibaran Jalur Gemilang.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah; Ketua-ketua Pusat Tanggungjawab serta pegawai-pegawai kanan universiti.

Related Articles

Back to top button