Program jaringan komuniti UUM Press kukuhkan hubungan dengan masyarakat setempat
Berita dan gambar Jawatankuasa Jaringan Khidmat Komuniti dan Persekitaran Lestari UUM Press
CHANGLUN, 26 November 2024: UUM Press komited dengan hala tuju Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam usaha mendekati komuniti melalui Program Jaringan Komuniti 2024 yang diadakan di Masjid Ibnu Sina dan Perpustakaan Desa Kampung Tradisi, Lembah Keriang Changlun pada 21 November lalu.
Pengarah UUM Press, Prof. Ts. Dr. Mohd Nasrun Mohd Nawi berkata, program ini mencerminkan tanggungjawab sosial universiti dalam membawa perubahan positif kepada masyarakat.
“Program seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan dengan komuniti tetapi juga mendidik staf untuk lebih peka terhadap keperluan sosial masyarakat.
“Inisiatif ini adalah antara usaha untuk menjayakan Pelan Transformasi Changlun dengan penyertaan seramai 40 staf UUM Press yang berganding bahu bersama-sama masyarakat setempat dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
Tiga aktiviti telah dilaksanakan dalam program ini dengan kesemua staf UUM Press dibahagikan kepada tiga kumpulan. Aktiviti utama adalah gotong-royong membersihkan kawasan Masjid Ibnu Sina dengan melibatkan ahli jawatankuasa masjid dan penduduk kampung yang bertujuan memastikan kebersihan masjid sebagai rumah ibadat diutamakan.
Sementara itu, sesi “Pautan Kasih” bersama 50 kanak-kanak Tabika Kemas Kampung Tradisi turut dijalankan oleh satu lagi kumpulan staf UUM Press. Aktiviti ini diisi dengan pertandingan bercerita dan mewarna, yang bertujuan menggalakkan budaya membaca, kreativiti serta membina keyakinan diri kanak-kanak.
Turut diadakan aktiviti membersihkan kawasan persekitaran Perpustakaan Desa Kampung Tradisi secara gotong-royong. Aktiviti ini bertujuan memastikan kawasan perpustakaan kekal bersih dan kondusif untuk keselesaan kakitangan dan pengguna perpustakaan.
Program ini turut dihadiri Penghulu Kampung Tradisi merangkap Pengerusi Perpustakaan Desa Kampung Tradisi, Ahmad Ali dan Penyelia Zon 3 Kedah bagi Perpustakaan Desa, Malina Ab Aziz.
Ahmad memuji langkah proaktif UUM Press yang seiring dengan Pelan Transformasi Changlun yang menekankan kerjasama erat antara institusi pendidikan dan komuniti dalam pembangunan kawasan setempat.
Program ini melabuhkan tirainya dengan sesi penyerahan hadiah kepada pemenang pertandingan bercerita dan mewarna. Semangat kebersamaan yang jelas terpancar sepanjang program ini menunjukkan komitmen UUM Press dalam memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat, seiring aspirasi Pelan Transformasi Changlun.