UUM kekal status Swaakreditasi bukti komitmen terhadap kecemerlangan akademik
CI Norazlina Ahmad
SINTOK, 22 April 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi membuktikan kecemerlangannya dengan berjaya mengekalkan status Swaakreditasi, seperti yang diumumkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melalui surat makluman bertarikh 14 April 2025.
Kejayaan ini diperoleh selepas UUM menjalani Audit Pertimbangan Status Swaakreditasi pada 24 hingga 25 Februari 2025.
Status Swaakreditasi yang diperoleh sejak 2017 merupakan pengiktirafan terhadap keupayaan UUM dalam mengekalkan sistem jaminan kualiti dalaman yang kukuh serta kecemerlangan akademik dan tadbir urus berkualiti tinggi.
Pengekalan status ini mengukuhkan kepercayaan MQA terhadap UUM, membolehkan universiti melaksanakan proses akreditasi program akademik secara autonomi mengikut standard dan garis panduan yang ditetapkan.
Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pencapaian ini sebagai hasil komitmen kolektif seluruh warga universiti dalam memperkukuh budaya kualiti dan kecemerlangan akademik.
Beliau turut merakamkan penghargaan serta ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha ini, khususnya kepada MQA.
Sementara itu, Pengarah Pusat Swaakreditasi, Prof. Madya Dr. Zulkiflee Daud, yang bertanggungjawab menyelaras usaha serta pematuhan berkaitan status ini turut melahirkan rasa bangga terhadap kejayaan yang dicapai.
“Sebagai sebuah pusat yang memastikan UUM terus berstatus Swaakreditasi, pencapaian ini amat membanggakan.
“Kami berjanji akan terus membantu dan menyokong universiti dalam usaha mengekalkan kecemerlangan dan kepercayaan ini,” katanya.
UUM komited untuk terus memperkukuh sistem jaminan kualiti dan memastikan program akademik yang ditawarkan kekal relevan, berimpak tinggi, serta memenuhi keperluan negara dan pasaran global.
Dengan pengekalan status ini, UUM terus melangkah sebagai institusi pengajian tinggi yang unggul dan berdaya saing, sejajar dengan aspirasi pendidikan tinggi negara. – Rohani Abdullah