UUM teraju inovasi jubin marmar lestari pertama Malaysia daripada gentian kenaf dan sisa pressmud
Berita dan gambar Tunku Muhammad Al-Amin Tunku Kasim
SHAH ALAM, 15 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) kini menerajui usaha mentransformasi sisa industri kepada produk premium bernilai tinggi menerusi projek penyelidikan bertajuk “Sustainable Marble Innovations: Eco-Friendly Tiles from Kenaf Fibers and Pressmud Waste”.

Projek ini menyasarkan untuk menghasilkan jubin marmar mesra alam pertama di Malaysia dengan menggabungkan gentian kenaf serta sisa industri gula pressmud.
Inisiatif penyelidikan berimpak tinggi ini diketuai oleh pensyarah kanan STML UUM, Dr. Maheera Mohamad bersama barisan penyelidik lain iaitu Prof. Dr. Che Azlan Taib dan Prof. Madya Dr. Wan Nadzri Osman.
Projek yang memakan masa selama setahun ini mendapat pembiayaan penuh daripada Lembaga Kenaf & Tembakau Negara (LKTN)
Dr. Maheera berkata, bagi merapatkan jurang antara hasil penyelidikan akademik dan aplikasi industri, UUM telah menjalinkan kerjasama strategik yang erat dengan rakan industri utama, GNG Distributors Sdn Bhd.

Menurutnya, melalui kolaborasi ini, kedua-dua pihak akan bersama-sama mengusahakan pemindahan teknologi pembuatan bagi menghasilkan jubin marmar lestari berskala komersial yang mesra alam serta berkarbon rendah.
Bagi merealisasikan impak industri sebenar, rakan kongsi projek telah menggariskan pelan hala tuju komersialan komprehensif merangkumi enam fasa utama.
Bermula daripada penyelidikan asas dan pembangunan (R&D), penyelidikan akan bergerak pantas ke fasa pembangunan prototip, ujian loji rintis (pilot plant trial), serta ujian pensijilan standard. Seterusnya, pembuatan komersial penuh akan dikendalikan di kilang pembuatan GNG (GNG Manufacturing) sebelum produk dilancarkan ke pasaran tempatan serta dieksport ke luar negara.

Inovasi ini dilihat sebagai pelaburan pintar yang sangat berpotensi tinggi memandangkan permintaan pasaran global terhadap bahan binaan hijau yang kian melonjak.
Di samping menyokong dasar kerajaan tempatan berkaitan kelestarian, produk jubin ini juga membantu industri mematuhi piawaian kelestarian ESG (Environmental, Social, and Governance) dan mengurangkan jejak karbon pelepasan gas rumah hijau.



