Sports

UUM FC rangkul pingat emas di Kejohanan Bola Sepak Sukan SPRM

KANGAR: Pasukan bola sepak Universiti Utara Malaysia (UUM FC) berjaya mencatat sejarah gemilang apabila merangkul pingat emas dalam Kejohanan Bola Sepak Sukan SPRM Zon Utara 2024 yang berlangsung di Stadium Tuanku Syed Faizzuddin Putra, UiTM Perlis.

Kejohanan yang berlangsung dari 16 dan 17 Ogos lalu menyaksikan persaingan sengit antara pasukan-pasukan yang bertanding, namun UUM FC berjaya menonjolkan prestasi cemerlang sepanjang kejohanan.

Dalam perlawanan pertama, UUM FC bertemu Pejabat Tanah, yang berakhir dengan keputusan seri 2-2. Pada perlawanan kedua menentang SPRM FC, UUM FC kembali bangkit dengan kemenangan besar 6-1. Kejayaan ini memberikan suntikan semangat yang kuat kepada pasukan untuk terus melangkah ke perlawanan seterusnya.

Perlawanan ketiga yang mempertemukan UUM FC dengan UiTM FC menjadi penentu kepada kejayaan UUM FC. Dalam perlawanan yang penuh mendebarkan, UUM FC berjaya mengatasi cabaran dengan kemenangan 2-1, sekaligus memastikan kedudukan teratas dan membawa pulang pingat emas yang diidamkan.

Pengurus pasukan UUM FC, Mohd Hafidz Baharudin melahirkan rasa syukur dan bangga atas pencapaian luar biasa ini.

“Komitmen dan semangat juang yang ditunjukkan oleh pasukan sepanjang kejohanan ini sangat mengagumkan. Saya berharap semangat ini akan diteruskan dalam kejohanan-kejohanan akan datang.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemain yang telah berusaha gigih dan memberikan yang terbaik di atas padang,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Universiti Utara Malaysia yang telah memberi peluang dan sokongan penuh kepada pasukan untuk bertanding dalam kejohanan ini.

Menurutnya, kejayaan ini adalah hasil daripada usaha bersama, dan beliau berterima kasih kepada universiti atas kepercayaan yang diberikan kepada pasukan UUM FC.

Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama UUM di peringkat zon utara tetapi juga menjadi bukti kebolehan dan keupayaan pasukan dalam menghadapi cabaran-cabaran besar.

Pasukan UUM FC kini menjadi inspirasi kepada seluruh warga universiti untuk terus cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi. 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button