Penat lelah sukarelawan SUKIPT dihargai
SINTOK – “Tidak kira cuaca panas atau hujan, anda telah menunjukkan semangat dan ketabahan yang patut dicontohi. Tugas sukarelawan bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi anda semua telah menjalankannya dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan sekalung penghargaan terima kasih dan tahniah atas segala usaha dan kerja keras yang telah anda curahkan, sumbangan anda amat berharga dan tidak ternilai harganya.”
Demikian dedikasi Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan yang ditujukan khas buat 700 sukarelawan yang diraikan pada Majlis Apresiasi Sukarelawan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Edisi Ke-6 2024, di Dewan Mu’adzam Shah, UUM, malam tadi.
Beliau menyifatkan sukarelawan sebagai individu yang memainkan peranan penting bagi memastikan SUKIPT berjalan dengan lancar dan sumbangan mereka amat berharga dan tidak ternilai harganya.
Jelasnya, majlis ini diadakan khusus untuk memberi pengiktirafan kepada Sukarelawan yang telah menunjukkan komitmen dan dedikasi yang luar biasa sepanjang kejohanan ini.
“Saya percaya bahawa pengalaman yang anda peroleh sepanjang menjadi sukarelawan ini akan menjadi batu loncatan yang penting dan nilai tambah yang akan memberi manfaat kepada anda di masa depan. Kemahiran dan pengalaman yang anda kumpulkan akan menjadi aset dalam perjalanan kerjaya anda kelak.
“Harapan saya agar anda semua dapat meraih pengalaman yang sangat berharga dan memanfaatkan sepenuhnya pengetahuan serta kemahiran yang diasah sepanjang SUKIPT 2024.
“Biarlah kejayaan yang anda capai hari ini menjadi titik tolak kepada pencapaian yang lebih cemerlang di masa hadapan. Dengan semangat dan dedikasi yang telah anda tunjukkan, saya yakin anda semua akan terus mencapai kejayaan yang gemilang dan memberi impak positif dalam setiap langkah perjalanan anda,” ujarnya.
Sementara itu, sukarelawan yang juga pelajar Sarjana Muda Perakaunan, Nurul Farhah Noor Alimin menimba pengetahuan baru sebagai sukarelawan teknikal taekwondo.
“Saya dan rakan-rakan membantu para pengadil di samping berpeluang memahami lebih mendalam lagi tentang peraturan sukan taekwondo.
“Kami juga tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan atlet yang hebat-hebat belaka seperti Randy Owen, Fu Cern dan Fu Ceen.
“Kami berpanas, berhujan, berjemur dan basah bersama-sama, sampai terlupa apa itu penat disebabkan keterujaan bersama rakan-rakan pasukan taekwondo,” kongsinya.
Baginya, SUKIPT 2024 ini merupakan yang terbaik di samping menambah kenalan baru dengan kehadiran kawan-kawan yang bersemangat dan memberi kerjasama padu.