Sports

SUKUA 2024: UPSI juara, UUM naib juara  

SINTOK – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi juara dan UUM sebagai naib juara bagi acara bola tampar campuran. Manakala Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul juara diikuti Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjadi Naib Juara bagi acara bola sepak pada kejohanan Sukan Keselamatan Universiti Awam (SUKUA) 2024 yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.

Juara membawa pulang hadiah kemenangan berupa piala, medal serta hamper dan naib juara membawa pulang medal dan hamper.

Sepuluh universiti awam memeriahkan SUKUA antaranya Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),   Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan yang berlangsung di Dewan Tan Sri Othman (DTSO), baru-baru ini.

Beliau berkata, SUKUA 2024 yang berlangsung selama dua hari itu menjadi medan kepada anggota keselamatan universiti awam berkumpul dan mengeratkan silaturahim sesama mereka.

“Buat julung-julung kalinya, Jabatan Keselamatan, UUM menjadi penganjur dan UUM sebagai tuan rumah dan semua acara berlangsung dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

“Edisi pada kali ini mempertandingkan dua acara iaitu bola sepak sembilan sebelah yang diadakan di Padang A dan Stadium UUM dan bola tampar campuran di gelanggang bola tampar, Pusat Sukan,” ujarnya.

Beliau merakamkan Ssetinggi-tinggi penghargaan dan ucapan syabas kepada semua peserta dari universiti awam di seluruh Malaysia yang bertanding penuh komitmen dengan azam dan kegigihan demi mencapai kejayaan.

Katanya, peserta menampilkan aksi dan usaha yang gigih untuk membuahkan kejayaan yang cemerlang dalam setiap acara sukan yang diceburi.

“Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua pasukan yang bertanding dalam   menjayakan sukan ini semoga kita berjumpa lagi di SUKUA edisi seterusnya pada tahun hadapan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah, Jabatan Keselamatan, Lt. Kol. Mohamad Ezanee Yazid berkata, kejohanan ini juga memberi peluang kepada peserta menunjukkan ketangkasan, aksi dan bakat masing-masing dalam acara sukan yang dipertandingkan.

Ujarnya, pasukan yang bertanding telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi bagi membantu pasukan masing-masing bergelar juara pada edisi kali ini.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button