Education

PIP 2024 memacu transformasi pendidikan inovatif

SINTOK – Pertandingan Inovasi Pembelajaran (PIP) tahun 2024 mendapat sambutan hangat dengan penyertaan 208 projek dalam pelbagai kategori daripada seluruh Malaysia.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, dedikasi, kesungguhan dan komitmen semua pihak telah berjaya merealisasikan gerak kerja untuk menjadikan inovasi dalam pendidikan sebagai pemangkin kepada cara berfikir, bertindak dan menyelesaikan masalah bersesuaian dengan tema “Edusphere: Breaking Barriers with Innovation”.

Ujarnya, melalui PIP kali ini, pelbagai inovasi dalam PIP menunjukkan potensi mereka untuk memberi impak yang besar kepada masyarakat.

“Kemahiran dan kompetensi peserta PIP menyerlahkan daya kreativiti yang tinggi. Komitmen semua dalam menangani cabaran murid, pelajar, dan masyarakat melalui pemikiran inovatif, inklusif, dan lestari akan membantu negara untuk berkembang secara komprehensif.

“Semangat ketabahan dan kepintaran inilah yang akan memacu kemajuan kolektif kita ke hadapan, membuktikan bahawa kemahiran inovasi yang digilap dapat berkembang untuk mencipta masa depan yang lebih baik untuk semua.

“Marilah kita terus menyokong dan memupuk usaha ini, memastikan setiap inisiatif memberi impak yang bermakna sambil kita berusaha ke arah masyarakat yang lebih mampan dan inklusif. Usaha kolektif ini akan memperkasa warga pendidik untuk terus relevan dan menjadi jaguh dalam inovasi pendidikan,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Dan Penyampaian Hadiah PIP 2024 Peringkat Antarabangsa.

Pelbagai kategori dipertandingan. Kategori A menampilkan 86 projek daripada kumpulan pensyarah universiti, pendidik dari Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Komuniti, guru sekolah, agensi luar, serta badan profesional seperti Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sebanyak 60 projek dipertandingkan bagi Kategori B yang merupakan projek daripada para pelajar institusi pengajian tinggi, IPG, Institut Kemahiran Mara, Politeknik, dan Kolej Komuniti.

Kategori C menyaksikan 38 projek yang amat berpotensi daripada murid sekolah menengah dan pelajar matrikulasi serta Pertubuhan Asuhan dan Didikan Anak-Anak Yatim Islam Daerah Sik (ADIK). Penyertaan mereka, mewakili anak-anak yatim dan asnaf, menunjukkan semangat ketabahan dan inovasi yang mampu melangkaui halangan sosio-ekonomi.

Kategori D menampilkan 16 projek daripada murid-murid sekolah rendah, membawa idea baharu dan menarik yang memberi inspirasi kepada pertandingan ini.

Salah satu pencapaian yang membanggakan bagi PIP tahun ini ialah pengenalan Kategori E, yang menerima 3 projek daripada murid-murid Kurang Upaya dan Berkeperluan Khas.

Manakala Kategori F menampilkan 5 projek inovasi Pengajaran daripada alumni program Inspirational Academecian Programme (IAP) di bawah UTLC.

Dr Mohd Foad berkata, pencapaian ini adalah bukti komitmen semua terhadap ekosistem inklusif yang semakin berkembang.

“Kami amat berbesar hati menerima penyertaan daripada Persatuan Disleksia Malaysia Utara dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Merbok, yang dengan beraninya berkongsi perspektif unik mereka dengan kita semua.

“Justeru, penyertaan daripada pelbagai latar belakang ini menunjukkan komitmen kolektif UUM bagi memastikan pendidikan dan inovasi terbuka kepada semua,” ucapnya di Dewan Mu’adzam Sham, semalam.

Beliau mengucapkan tahniah kepada semua pihak serta pemenang dan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pasukan Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC) yang menjadi tulang belakang kejayaan PIP.

“Perspektif tentang masa depan pendidikan, khususnya mengenai transformasi digital, keterangkuman, dan integrasi AI dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) amat bermanfaat sejajar dengan keperluan terkini.

Sementara itu, Sekolah Kebangsaan Bohor Mali memenangi Anugerah Best of the Best (kategori D) Bagi Projek Sabun Herba Alami.

Ketua projek, Sayyidatul Nafisah Mohd Syahmi berkata, pasukannya memilih untuk membuat sabun kerana tumbuhan ini banyak ditanam dan mahu memanfaatkan tanaman herba di kawasan sekolah.

“Sabun ini digunakan selepas Pengajaran dan Pemudahcaraan terutama bagi murid-murid yang melakukan aktiviti sukan sunah seperti renang, berkuda dan memanah di sekolah.

“Jadi dengan menggunakan sabun herba alami ini lebih selamat kerana mengandungi herba semulajadi yang pasti tiada campuran bahan kimia selain mempunyai khasiat yang bagus untuk badan.

Pasukannya amat teruja dengan kejayaan ini dan bersyukur dengan kemenangan yang tidak dijangka.

“Terima kasih kepada cikgu atas dorongan dan tunjuk ajar, segala penat-lelah kami selama ini akhirnya terbalas dengan sesuatu yang sangat manis serta memberi semangat  untuk terus berusaha melakukan yang lebih baik,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button