KPSK wujud kesedaran pentingnya governan sukan yang baik
Gambar Pusat Sukan
SINTOK: Seramai 33 peserta telah menyertai Kursus Pengurusan Sukan Kebangsaan (KPSK) Tahap 1 (Terbuka) anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Pusat Sukan Universiti Utara Malaysia (UUM) di Auditorium SAC selama empat hari mulai 14 oktober lalu.
Peserta kursus terdiri daripada pelajar dan staf IPTA (UUM, UMT dan UiTM) serta penggiat sukan dari persatuan sukan.
Pengarah Pusat Sukan, Dr. Nasiruddin Haron berkata, tujuan kursus adalah bagi mewujudkan kesedaran tentang kepentingan amalan pengurusan dan governan sukan yang baik, di samping melahirkan penggiat sukan yang kompeten dalam menguruskan penganjuran sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Menurutnya, kursus ini merupakan kursus pengurusan sukan peringkat kebangsaan yang pertama dianjurkan di UUM.
Beliau berharap melalui penganjuran kursus ini dapat membentuk peserta yang kreatif dan inovatif dalam memimpin penganjuran sukan di peringkat IPT mahupun negara kelak.
Sementara itu, Panel Penilai KPSK, Suhaimi Sun Abdullah berkata, pengurusan sukan merupakan fokus penting di kalangan mahasiswa dan staf IPT sebagai pelengkap kepada kecemerlangan dalam penganjuran kejohanan sukan di peringkat IPT.
“Pada masa kini, IPT telah menjadi antara pemangkin dalam penganjuran sukan bukan sahaja peringkat nasional tetapi juga peringkat antarabangsa.
“Selaras dengan keperluan itu, maka kami sangat mengalukan inisiatif Pusat Sukan UUM dalam menganjurkan Kursus Pengurusan Sukan Kebangsaan Tahap 1 (Terbuka) 2024 ini bagi memberi ruang dan platform kepada pelajar dan staf IPT untuk meningkatkan nilai tambah dalam aspek pengurusan sukan” katanya.
Beliau juga berharap agar penganjuran kursus ini dapat diteruskan setiap tahun di UUM melalui sokongan dan kerjasama yang holistik daripada pihak pihak Majlis Sukan Negara. – Siti Norlia Mazlan