Pemberian insentif suntik semangat, inspirasi
SINTOK, 4 November 2024 – Penyampaian insentif kepada atlet cemerlang dalam tiga kejohanan pada 2024 memberi inspirasi sekali gus menghargai dedikasi para atlet yang berjaya mengharumkan nama universiti.
Majlis Penyerahan Insentif Atlet Cemerlang Kontinjen UUM 2024, semalam diadakan untuk meraikan atlet UUM yang telah melakar nama di Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia 2024 di UMS Sabah, ‘23rd IMT-GT Varsity Carnival 2024’ dan Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2024.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama atlet yang merupakan jaguh, hero dan heroin UUM dalam tiga kejohanan terpenting pada tahun ini.
“Penat tapi berbaloi. Anda telah melakar kejayaan dan mengharumkan nama UUM di peringkat IPT dan antarabangsa, syabas dan tahniah diucapkan,” katanya.
“Majlis penyerahan insentif ini adalah sebahagian daripada inisiatif Pusat Sukan dan universiti untuk memberikan galakan, motivasi dan menghargai titik peluh para atlet dalam usaha mengharumkan nama universiti serta negara melalui bidang sukan.
Jelasnya sesuatu kemenangan itu tidak diperolehi dengan mudah. Semoga kejayaan para atlet semua akan dijadikan sebagai ‘role model’ oleh semua pelajar UUM dalam usaha mencapai kejayaan yang lebih cemerlang di masa hadapan.
“Oleh itu, saya yakin dengan adanya insentif ini, semua atlet, jurulatih dan pengurus pasukan kontinjen UUM akan lebih bersemangat dalam memastikan setiap matlamat untuk acara sukan UUM muncul juara akan dapat direalisasikan.
“Memetik kata-kata lagenda dunia, Nelson Mandela “Kemuliaan terbesar dalam hidup bukan terletak pada tidak pernah jatuh, tetapi bangkit setiap kali kita jatuh,” ujarnya.
Beliau berharap atlet akan meneruskan kecemerlangan dalam sukan masing-masing. Semoga penyerahan insentif ini akan menjadi pemangkin semangat kepada kejayaan.
Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Golf), Nur Ameera Najwa Zinuddin bersyukur kerana berjaya mendapat insentif untuk dua pingat emas pada temasya SUKIPT 2024.
“Saya tidak menjangka menang dua pingat emas memandangkan pertarungan sangat sengit tambahan pula saya pemain junior namun saya berusaha gigih membuat aksi terbaik.
“Untuk perancangan masa depan saya harap dapat memenangi banyak kejohanan, dan mahu menjadi pemain yang padu buat UUM,” ujarnya.
UUM berada di tangga 10 IPT terbaik pada SUKIPT Edisi Ke-6 2024 dengan mengumpul 8 pingat emas, 2 pingat perak dan 12 pingat gangsa.
Manakala pemenang pingat emas Sukan Staf Antara Universiti Awam Malaysia (SUKUM) 2024 bagi Acara Beregu Wanita Badminton, Aiza Irmalinda Ariffin berkata, semua atlet membuat persiapan rapi dan meletakan sasaran untuk mara.
“Alhamdulillah dengan perancangan dan strategi permainan yang mantap kami dapat menyerap tekanan sekali gus mengatasi bergu dari Universiti Sains Malaysia di final. Menariknya kami dapat berjumpa dengan rakan-rakan baru dan lama yang masih meneruskan minat dalam sukan badminton.
“Latihan diteruskan seperti biasa dan lebih banyak perlawanan persahabatan dirancang untuk mengekalkan tahap kecergasan setiap pemain dan paling penting pasukan badminton perlu mencari pelapis muda bagi memastikan pasukan badminton UUM terus digeruni,” ujarnya.
Beliau teruja kerana dapat menyumbang pingat emas untuk UUM serta menyifatkan majlis seumpama ini amat baik bukan kerana insentif semata-mata tetapi menghargai sumbangan atlet.