Education

IBS promosi program pengajian dan latihan di Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Azizah Othman dan Prof. Madya Dr. Mohd Zakhiri Mohd Nor

BRUNEI, 17 Februari 2025: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei, baru-baru ini.

Delegasi yang diketuai oleh Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor bersama tiga orang pensyarah kanan IBS disambut oleh pegawai-pegawai tinggi Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei yang diketuai oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Shamsol Omar.

Dr. Selamah telah memperkenalkan program-program akademik yang ditawarkan oleh IBS dan turut mempromosikan program-program latihan di bawah pusat kecemerlangan IBS antaranya Islamic Financial Planner, Latihan Halal Eksekutif dan Program Profesional ar-Rahnu.

Pihak IBS juga bersedia menerima pelajar-pelajar dari negara Brunei untuk semua peringkat pengajian di UUM.

Pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei juga menyambut baik hasrat IBS dan berminat untuk berkolaborasi dalam bidang-bidang yang telah ditawarkan oleh pihak IBS, malah IBS turut menerangkan tentang hasrat untuk menubuhkan pusat kecemerlangan IBS berteraskan wakaf kepada pihak kementerian.

Pihak Kementerian Ugama Brunei teruja dengan program-program akademik yang ditawarkan dan berhasrat menghantar pelajar-pelajar Brunei tajaan Kerajaan Brunei bagi program-program di UUM khasnya IBS. Selain itu, terdapat bidang-bidang penyelidikan berkaitan dengan zakat, wakaf, halal dan Ar-Rahnu yang mencuri tumpuan mereka untuk dijadikan sebagai rakan strategik. Pihak kementerian juga menyambut baik dan menyokong projek bangunan wakaf IBEEC (Islamic Business Education Excellence Center) yang dicadangkan IBS.

Pihak IBS turut mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei TYT Datuk Mohd Aini Atan untuk memaklumkan keberadaan warga UUM di Brunei dan memaklumkan mengenai projek wakaf IBEEC yang diterajui oleih IBS. Hasrat ini disambut baik oleh TYT Datuk sebagai satu usaha yang murni dan bersedia membantu UUM bagi menjayakan projek wakaf ini setelah mendapat kebenaran daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Kunjungan hormat ini mampu menjadi pemangkin bagi mengeratkan hubungan antara dua negara dalam memperkukuh hubungan akademik dan antarabangsa serta meneroka peluang kerjasama pada masa hadapan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button