Sports

UUM rangkul 1 emas dan 1 gangsa di SAM 2025

Gambar Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2024/2025

TERENGGANU, 20 Februari 2025: Pusat Asasi Pengurusan (PAP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Sukan Asasi Malaysia 2025 Edisi Ke-8 yang berlangsung dari 7 hingga 9 Februari lalu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Sebanyak 15 kontinjen mengambil bahagian dalam 11 acara sukan yang dipertandingkan dengan penglibatan 13 pusat asasi universiti awam, wakil daripada Matrikulasi (Kolej Matrikulasi Kelantan) dan Politeknik Malaysia.

Seramai 89 atlet pelajar PAP telah terpilih untuk mewakili pelbagai acara sukan termasuk ragbi, dart, orienteering, futsal, bola tampar, bola jaring, e-sukan (PUBG dan MLBB), serta olahraga.

Pada edisi kali ini, UUM berjaya merangkul satu pingat emas dan satu pingat gangsa, sekali gus meletakkan universiti di kedudukan yang kelapan secara keseluruhan.

Pingat emas diraih oleh Vinosh Sinnappan Das dalam acara dart individu lelaki, manakala pingat gangsa dimenangi oleh Nurul Hanis Raseni dalam acara orienteering individu wanita.

Johan keseluruhan kejohanan disandang oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kutipan pingat 13 emas, tiga perak dan lapan gangsa.

Majlis penutupan kejohanan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim yang turut menyampaikan penghargaan kepada semua atlet, pegawai dan sukarelawan yang menjayakan kejohanan itu.

Sementara itu, Pengarah Pusat Asasi Pengurusan yang juga merupakan Pengerusi Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman berkata, Sukan Asasi Malaysia merupakan kejohanan tahunan di bawah naungan Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam dan Matrikulasi sejak tahun 2018.

“Penganjuran kejohanan SAM adalah sangat bertepatan dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melahirkan pelajar yang holistik.

“Selain itu, ia turut menggalakkan pembudayaan sukan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT). Kejohanan ini sangat baik dalam membentuk gaya hidup sihat yang seimbang dan tidak hanya tertumpu kepada kecemerlangan akademik semata-mata,” katanya.

Dalam majlis penutupan tersebut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) diumumkan secara rasmi sebagai tuan rumah Sukan Asasi Malaysia bagi tahun 2026.

Diharapkan kejohanan seperti ini akan terus dianjurkan pada masa akan datang bagi memperkasakan pembangunan sukan di peringkat asasi dan seterusnya ke peringkat lebih tinggi. – Nur Najwa Izzati Ahmad Anuar

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button