Unit Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu santuni pelajar STPM di SMK Syed Sirajuddin
Gambar Unit Bahasa Sastera dan Budaya Melayu, SLCP
PERLIS, 16 Mac 2025: Unit Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (UBSBM), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan program motivasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin, Perlis, baru-baru ini.
Program ini dikendalikan oleh Dr. Maulana al-Fin Che Man, Prof. Madya Dr. Mashetoh Abd. Mutalib serta Dr. Yusniza Yaakub.
Mereka telah memperkenalkan program di bawah SLCP, iaitu Sarjana Muda Sastera Linguistik dan Teknologi Maklumat dengan Kepujuan, Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif dengan Kepujian, Sarjana Muda Linguistik terapan dan Pentadbiran Peniagaan dengan Kepujian serta Sarjana Muda Sejarah Gunaan dengan Kepujian kepada pelajar Tingkatan Enam yang bakal melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
Dr. Maulana berkata, seramai 70 pelajar Tingkatan 6 dari SMK Syed Sirajuddin telah menyertai sesi motivasi dan mereka berpeluang mengenali program pengajian yang ditawarkan serta keperluan dan cabaran dalam bidang berkaitan.
Selain itu, sesi ini turut membimbing dan merancang hala tuju akademik dan kerjaya selepas Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan menekankan kepentingan persediaan emosi bagi melangkah ke alam universiti.
Sementara itu, Penolong Kanan Tingkatan 6, SMK Syed Sirajuddin, Amran Omar menyatakan bahawa lawatan ini sangat bermanfaat kerana memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang dunia universiti dan cabaran yang bakal mereka hadapi.
“Program seperti ini sangat membantu pelajar dalam memahami peluang pendidikan yang ada dan memudahkan mereka membuat keputusan yang tepat selepas STPM.
“Saya percaya usaha ini akan memberikan inspirasi kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik mereka,” katanya.
Program sebegini diharap dapat membina hubungan jangka panjang dan mewujudkan jaringan pendidikan yang berterusan demi manfaat generasi akan datang. – Dr. Maulana Al-Fin Che Man