Campus

Sambutan Riang Raya Aidilfitri bersama Mahasiswa OKU UUM

SINTOK, 16 April 2025: Sambutan Riang Raya Aidilfitri bersama Mahasiswa OKU UUM berlangsung dalam suasana meriah dan mesra di ILC PERMAI UUM (Pusat OKU UUM), baru-baru ini.

Menambah seri majlis, Persatuan Mahasiswa Istimewa (PERMAI) Universiti Utara Malaysia menerima kunjungan istimewa daripada Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Program Sambutan Riang Raya Aidilfitri bersama Mahasiswa OKU UUM ini bertujuan untuk meraikan golongan mahasiswa berkeperluan khas dalam menyambut suasana Hari Raya yang meriah serta menunjukkan sokongan dan keprihatinan pihak pengurusan universiti terhadap kebajikan pelajar OKU.

Suasana ceria dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan seperti jamuan raya, persembahan pelajar, teka kuih raya dan lagu raya, cabutan bertuah dan sesi ramah mesra bersama barisan pentadbiran universiti.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, program ini dapat merapatkan hubungan antara pentadbiran Universiti Utara Malaysia dengan mahasiswa istimewa, serta menyemai nilai-nilai kemanusiaan dan keprihatinan dalam kalangan warga kampus.

Jelasnya, kehadirannya pada majlis ini adalah tanda bahawa pihak universiti sentiasa menghargai dan menyantuni mahasiswa istimewa.

Beliau juga mengharapkan majlis raya yang di sambut bersama ini akan menjadi memori yang sentiasa terpahat kukuh di sanubari.

Sementara itu, Pengurus Pusat OKU UUM merangkap Pengerusi Pertubuhan Mahasiswa Istimewa (NGO PERMAI Kebangsaan), Meor Muhammad afif Aiman Abu Bakar turut menyatakan rasa bangga atas keprihatinan pihak universiti terhadap golongan mahasiswa berkeperluan khas.

“Suasana penuh ceria dapat dirasai apabila semua hadirin saling beramah mesra dalam suasana yang harmoni,” ujarnya.

Pelajar OKU, Gagandip Singh merasa teruja menyertai majlis ini dan menyifatkan program sebegini sebagai satu langkah positif dalam merapatkan jurang antara pentadbiran dan pelajar.

Gagandip turut menzahirkan penghargaan atas kesudian pihak universiti hadir dan bersama-sama meraikan sambutan Aidilfitri bersama mereka. – Siti Nur Iwani Othman

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button