Latih diri menjadi seorang pegawai dengan disiplin
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 22 April 2025: Pelajar Universiti Utara Malaysia khususnya pelatih Kor SUKSIS dinasihatkan supaya melatih diri menjadi seorang pegawai atau pemimpin yang berdisiplin.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Kedah, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal menasihati pelatih agar melatih diri menjadi seorang pegawai atau pemimpin yang berjaya bermula dari sekarang dengan penglibatan awal dalam latihan Kor SUKSIS.
Menurutnya, sebagai pelajar dan pelatih, terapkan disiplin diri dalam segala urusan melalui penglibatan dalam Kor SUKSIS dan jauhi perkara yang boleh mendorong ke arah keburukan.
“Saya juga ingin mengingatkan agar sentiasa menjaga solat dan banyakkan membuat kebaikan bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi masyarakat dan negara.
“Semoga Kor SUKSIS menjadi penanda aras untuk kepimpinan di masa akan datang dengan kecemerlangan dan disiplin yang ditonjolkan,” katanya di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kor SUKSIS UUM 2025 di EDC UUM, Ahad lalu.
Naib Canselor yang juga Komandan Kor SUKSIS UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, objektif program ini adalah untuk mewujudkan silaturahim dan semangat muhibah bukan sahaja dalam kalangan warga Kor Suksis tetapi dengan tetamu kehormat yang hadir ke majlis ini.
Menurutnya, majlis seumpama ini sedikit sebanyak dapat mengukuhkan hubungan dan kesefahaman antara warga Kor SUKSIS yang berbilang bangsa, budaya dan agama.
Katanya, hubungan baik yang terjalin antara warga Kor SUKSIS dapat dilihat melalui kerjasama dalam menjayakan program ini, secara tidak langsung dapat melahirkan organisasi yang mempunyai hubungan yang erat antara satu sama lain.
“Penganjuran majlis ini juga mampu memberikan pendedahan dan meningkatkan kemahiran pelatih Kor SUKSIS dalam merancang serta mengendalikan program-program atau majlis-majlis lain lagi pada masa akan datang yang boleh menjadi platform untuk melahirkan graduan dengan kemahiran, berdaya saing, berdisplin, berketrampilan dan dilengkapi dengan nilai-nilai murni serta harga diri yang tinggi seperti acuan yang dimiliki oleh Polis Diraja Malaysia.
“Program yang dijalankan ini juga mampu memberikan peluang kepada warga pentadbir dan pelatih untuk meningkatkan komunikasi dan interaksi antara satu sama lain dalam organisasi ini, sekali gus dapat meningkatkan persefahaman antara para hadirin yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama,” katanya.
Majlis diteruskan lagi dengan tayangan video pendek dan gimik perasmian serta persembahan dari pelatih dan cabutan bertuah diselang selikan dengan sesi karaoke dari jurulatih dan tetamu kehormat, selain persembahan khas daripada Ketua JPJKK sebelum penyampaian hadiah dan cenderahati.