UUM dan SHELL kukuhkan kerjasama
CYBERJAYA, 23 April 2025: Majlis Graduasi Shell Padawan berlangsung dengan penuh meriah di Wisma Shell, Cyberjaya, baru-baru ini.
Program ini merupakan inisiatif Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam program School of Hard Knocks (SoHK) yang mendedahkan pelajar agar lebih bersedia untuk menempuh alam pekerjaan yang bersesuaian dengan perkembangan industri hari ini.
Sebelum majlis bermula, pelajar telah menghadiri sesi fizikal terakhir iaitu Resume Workshop serta Tips & Tricks for Interviews bersama mentor Shell.
Sesi fizikal ini bertujuan memberi panduan berguna kepada pelajar dalam usaha menyiapkan diri mereka untuk alam pekerjaan, khususnya dalam aspek penulisan resume yang efektif dan teknik menghadiri temuduga secara profesional.
Selesai sesi fizikal itu, majlis graduasi dimulakan dengan ketibaan para graduan, kakitangan Shell, serta jemputan kehormat, Shazmi Ali, Vice President, Human Resources – Shell Business Operations & Malaysia, Syed Taha, General Manager, Shell Business Operations Kuala Lumpur, serta Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) UUM.
Shazmi Ali dalam ucapannya menyatakan penghargaan terhadap komitmen para peserta dan menekankan kepentingan membina asas kerjaya yang kukuh melalui latihan dan dedikasi serta berhasrat agar program seperti ini diteruskan lagi pada masa hadapan.
Beliau menggalakkan para graduan untuk menerapkan ilmu yang diperoleh sepanjang program dan berperanan sebagai individu berdaya saing yang mampu membawa pembaharuan dalam industri.
Sementara itu, Prof. Dr. Ahmad Martadha turut mengucapkan tahniah kepada para graduan dan menyeru agar mereka memanfaatkan peluang yang diperoleh melalui program ini sebagai pemangkin kepada kejayaan masa depan.
Pelajar telah diberi peluang untuk melawat fasiliti dan kemudahan yang disediakan oleh Shell seperti gimnasium, kafeteria dan ‘wellness hub’ serta memahami struktur organisasi dan budaya kerja dalam industri tersebut.
Turut hadir dalam majlis ini, Prof. Madya Dr. Zainudin Omar, Dekan Hal Ehwal Pelajar UUM; Dr. Fikriyah Abdullah, Pengarah PPKKG dan Dr. Adilah Azhari, Penyelaras Program SoHK. – Anis Zulaikha Kamal