Sports

Naib Canselor harap lebih ramai atlet dilahirkan di Kejohanan Piala Naib Canselor 2025

Gambar Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 23 April 2025: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) berharap Kejohanan Piala Naib Canselor 2025 akan menjadi platform untuk mencungkil lebih ramai bakat sukan dalam kalangan pelajar UUM.

Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, penganjuran kejohanan kali ini bukan hanya bertujuan melahirkan atlet berbakat, tetapi juga memperkukuhkan budaya bersukan dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, kejohanan ini menjadi medan terbaik untuk mencungkil lebih ramai bakat sukan baharu serta menyemarakkan budaya bersukan di kampus ini.

Katanya, selain itu, sukan juga merupakan wadah terbaik untuk memupuk nilai murni seperti kerjasama berpasukan, semangat juang, disiplin dan integriti.

“Kejohanan Piala Naib Canselor UUM, yang kini memasuki edisi ketiga sejak diperkenalkan pada 2023, bukan sekadar pelancaran logo tetapi juga simbol kepada kejohanan sukan berprestij.

“Penganjuran kejohanan ini adalah sejajar dengan aspirasi UUM untuk melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga aktif, sihat, dan berdaya tahan menerusi penglibatan dalam kegiatan kokurikulum dan sukan,” katanya di Majlis Prapelancaran Kejohanan dan Logo Piala Naib Canselor UUM 2025 di Bilik Mesyuarat Pusat Sukan, semalam.

Kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada 4 hingga 31 Mei depan mempertandingkan tiga jenis sukan utama berpasukan iaitu bola sepak, bola jaring, bola tampar lelaki dan wanita dengan pembabitan atlet keseluruhan seramai 896 orang.

Dr. Mohd Foad berharap pelajar akan mendapat peluang untuk mengasah kemahiran insaniah dan memperkukuhkan semangat kekitaan atau esprit de corps dalam kalangan komuniti kampus.

Beliau turut mengimbas kejayaan kontinjen UUM dalam penyertaan SUKIPT 2024 di mana universiti ini berada di kedudukan ke-10 daripada 71 kontinjen, sekali gus membuktikan bahawa warga UUM memiliki potensi besar dalam bidang sukan.

Pada kejohanan ini, johan akan menerima hadiah wang tunai RM1,000 berserta piala pusingan dan medal, diikuti tempat kedua RM500 dan medal, tempat ketiga RM300 dan medal serta tempat keempat RM200 dan medal.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Pengarah Pusat Sukan, Dr. Nasiruddin Haron dan pegawai-pegawai kanan universiti.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button