Featured News

Acara berasaskan komuniti jadi projek rintis Program Pengalaman Homestay Kubang Palas

Gambar Dr. Azizah Ismail

KUBANG PALAS, 29 April 2025: Seramai tujuh orang pelajar kursus GHZTK4123 Contemporary Issues in Event Management (Semester A42), bersama 23 sukarelawan; pensyarah kursus, Dr. Norwani Mohd Nazari, dan penasihat bersama Dr. Azizah Ismail telah melaksanakan inisiatif Service-Learning Malaysia–University for Society (SULAM) melalui program berasaskan komuniti di Kubang Palas.

Program ini turut dibantu oleh Dr. Adi Syahid Mohd Ali dan Dr. Rosfaraliza Azura Ramli dari Pusat Pengajian Kerajaan.

Dr. Norwani berkata, pelaksanaan program ini bertujuan untuk memperkasa komuniti dalam penganjuran acara TERAP RAYA 2025 dan mengadakan simulasi Program Pengalaman Homestay selama tiga hari dua malam, yang berlangsung dari 24 hingga 26 April lalu di Kampung Kubang Palas.

Menurutnya, pelajar kursus bertindak sebagai sukarelawan yang menyumbang kepakaran akademik, pengalaman praktikal, dan panduan teknikal dalam pengurusan acara. Selain itu, program ini berperanan dalam mengukuhkan hubungan silaturahim antara komuniti setempat dengan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan yang terlibat.

Dalam pelaksanaan program, sukarelawan telah dibahagikan mengikut fasa utama iaitu perbincangan penganjuran, pembahagian tugas, pelaksanaan acara, serta sesi refleksi pasca-acara. Selain berjaya menganjurkan acara TERAPRAYA 2025, sukarelawan turut melaksanakan aktiviti pemetaan tarikan pelancongan berasaskan komuniti yang berlandaskan kearifan lokal.

Pemetaan ini akan digunakan sebagai salah satu komponen utama dalam Program Pengalaman Homestay Kubang Palas, yang sedang dalam proses pendaftaran rasmi dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC). Penyertaan pelajar sebagai sukarelawan ini adalah selari dengan objektif SULAM yang menekankan aplikasi ilmu yang diperoleh di dalam bilik kuliah kepada komuniti setempat secara langsung.

Pengerusi Yayasan Kemiskinan Darulaman (YAKED), Dato’ Seri Mahdzir Khalid menyampaikan penghargaan dan ucapan tahniah atas kejayaan penganjuran majlis TERAPRAYA 2025, yang pada asalnya dirancang sebagai majlis pelancaran produk retort Gulai Daging Rias Pisang Kubang Palas. Melalui usaha kolaboratif, majlis ini telah diperluaskan skopnya untuk melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, turut melahirkan rasa bangga terhadap Projek Pengalaman Homestay yang mendapat sokongan rasmi daripada MOTAC.

Beliau menegaskan bahawa projek ini berteraskan prinsip pembangunan komuniti dan pelancongan berasaskan komuniti (community-based tourism), dengan pendekatan dari bawah ke atas (bottom-up approach) yang mengoptimumkan kekuatan sosial, budaya, dan warisan setempat sebagai aset pelancongan utama di Kubang Palas.

Selain itu, program ini turut menerima sokongan dalam bentuk sumbangan berbentuk in-kind dan kewangan daripada pelbagai agensi termasuk Akademi Kenegaraan Malaysia Negeri Kedah (AKM), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Zon 2 Padang Terap, Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), serta syarikat Faraliza Resources Berhad.

Sumbangan tersebut telah membantu memperkasa penganjuran acara di samping memberi peluang kepada pelajar untuk memperoleh pengalaman sebenar dalam pengurusan penajaan serta menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak industri.

Program ini dijayakan dengan kerjasama pelbagai agensi dan institusi, antaranya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kubang Palas, Desa KEDA dan Kampung Seberang Padang Sanai, Koperasi Ruminen dan Pertanian Kubang Palas Berhad, AKM Negeri Kedah, Sekolah Kebangsaan Kubang Palas, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Zon 2 Padang Terap, serta komuniti setempat. Turut terlibat ialah pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Sekolah Kebangsaan Kubang Palas.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Mohd. Akmaluddin Mudaribeni. – Dr. Norwani Mohd Nazari

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button