Takmir Masjid tarik 10,000 pengunjung, perkukuh peranan masjid sebagai nadi kampus
SINTOK, 30 April 2025: Masjid Sultan Badlishah, Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi mencatat sejarah apabila Program Takmir Masjid 2025 berjaya menghimpunkan lebih 10,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya baru-baru ini.
Program anjuran Pusat Islam UUM ini bukan sahaja menyemarakkan suasana kampus dengan aktiviti bermanfaat, malah mengukuhkan kedudukan masjid sebagai pusat kehidupan kampus yang menyeluruh.
Majlis dimulakan dengan Qiamullail dan Solat Subuh berjemaah yang disertai oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan bersama para pelajar dan staf.
Beliau kemudiannya merasmikan program dengan menyampaikan amanat tentang peranan masjid sebagai pusat pembangunan sahsiah dan perpaduan ummah. Kuliah Subuh yang disampaikan oleh PU Azraie selepas itu menambah seri pagi dengan pengisian rohani yang menyentuh hati.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Pengarah Pusat Islam, Mohd Yusnaidi Md Sabri turut meluangkan masa menyertai pelbagai slot bersama mahasiswa.
Antara program menarik ialah aktiviti Brisk Walk Fit & Fun yang berjaya mencipta suasana segar dan ceria pada waktu pagi.
Dalam masa yang sama, perkarangan masjid turut menjadi tumpuan dengan persembahan Busking Nasyid dan Sharing Slot yang menampilkan pelajar pelbagai latar belakang menyampaikan mesej motivasi dan kerohanian.
Suasana menjadi semakin meriah dengan pelbagai pertandingan santai seperti ‘Battle of the Mee Goreng Masters’ yang menyaksikan pelajar pelbagai kaum menunjukkan bakat memasak dengan resepi unik masing-masing. Pertandingan ini bukan sahaja menguji kreativiti dalam penyediaan menu, malah menjadi medan perpaduan yang menghiburkan.
Ruang sosial turut dipenuhi dengan pelbagai tarikan komuniti seperti Cabutan Bertuah, edaran roti canai di sebelah pagi dan apam balik percuma sebanyak 400 keping pada sebelah petang.
Soopa Doopa percuma untuk kanak-kanak. Tidak ketinggalan juga ialah Charity Shop yang menyediakan barangan terpakai untuk pengunjung, dan edaran 100 pasang stoking muslimat yang mendapat sambutan hangat.
Bagi penggemar intelektual dan kesihatan mental, sesi Podcast Santai bertajuk “Kuat Mental, Kuat Spiritual” menampilkan panel jemputan seperti Ketua Jabatan Psikiatri Hospital Sultanah Bahiyah, Dr. Mohd Affendi Hashim dan Ustaz Dr. Jazmi Md Isa dari IPG Kedah, berjaya menarik minat ramai dengan kupasan isu semasa berkaitan kesejahteraan pelajar.
Dalam pada itu, pertandingan berunsur kreativiti dan rekreasi seperti Pertandingan Fotografi bertema ‘Siluet Iman, Monopoly Tournament 2025’, serta ‘Grand Carrom Champion’ menarik minat golongan pelajar yang lebih santai. Acara PUBG Tournament pula mencetuskan suasana kompetitif dalam kalangan penggemar e-sukan, dengan tawaran hadiah wang tunai kepada pemenang.
Program lebih imarah dengan Solat Jumaat diikuti dengan jamuan dan minuman air balang yang disediakan secara percuma kepada jemaah. Kehadiran ribuan pengunjung menunjukkan bahawa usaha Pusat Islam dan sekretariat Sahabat Masjid Sultan Badlishah UUM dalam mempelbagaikan program masjid ternyata berhasil.
Program Takmir Masjid ini bukan sahaja memperlihatkan penglibatan aktif mahasiswa dan warga kampus, tetapi turut mengangkat masjid sebagai ruang inklusif untuk semua, merentasi latar bangsa, minat dan kecenderungan dalam membina kampus yang harmoni, progresif dan berteraskan nilai Islam. – Nor Azlinah Zaini